Monday, June 1, 2009

KAHWIN AWAL

Adakah berkahwin awal satu tuntutan pada masa sekarang? Persoalannya sekarang adakah seseorang yang muda yang umur meningkat ke 20 tahun dan telah menpunyai couple atau tidak, tapi mepunyai keinginan untuk berkahwin awal adalah jalan terbaik buat remaja masa kini.? Adakah dengan kahwin awal dapat menyelamatkan dari segala kejahatan(maksiat) kepada Allah?a

Cuba kita lihat perkahwinan itu sendiri ialah menghalalkan segala yg haram. Menurut Saidina Abbas r.a, bahawa tidak sempurna ibadat seseorang kecuali apabila ia sudah berkahwin. Persoalannya adakah kahwin itu suatu ibadat??

Saidina Abbas lebih cenderung untuk meletakkan perkahwinan itu sendiri merupakan suatu ibadat, ataupun ia dikira sebagai suatu kesempurnaan bagi perlaksanaan ibadah.

Yang dimaksudkan oleh Saidina Abbas iaitu tidak tenang hati seorang hendak beribadat kepada Allah SWT kerana dorongan syahwat yang telah ditakdirkan kepada keturunan Adam, kecuali setelah ia berkahwin. Walaupun seseorang itu kuat melakukan ibadat, seorang tok lebai yang baik budi pekertinya dan berakhlak mulia, namun ia terpaksa mengakui keperluan yang telah ditakdirkan oleh Allah SWT dari segi nafsu syahwat, maka kedudukannya sebagai tok lebai itu belum boleh menjadi suatu jaminan melainkan ia kembali ke fitrahnya yang semula jadi itu untuk berkahwin.

Lebih-lebih lagi di zaman yang penuh pancaroba; buka jendela di pagi hari, sudah lihat perkara-perkara yang boleh mengoda perasaannya. Sedangkan di zaman Saidina Abbas r.a itu pun beliau telah merasakan tidak selamat tanpa berkahwin, betapa pula di zaman sekarang yang begitu banyak pendedahan perkara-perkara yang membangkitkan keinginan seseorang terhadap syahwat.

Oleh yang demikian perkahwinan menjadi suatu perkara yang sangat mustahak kerana ia akan menjadi perisai kepada keimanan.

Tidak sempurna suatu ibadat kecuali ia dilakukan dengan kelapangan hati. Kelapangan dan ketenangan hati akan lebih mudah dicapai setelah Seseorang itu menempuh perkahwinan. Jika seseorang itu memerlukan makan minum dan pakaian serta tempat tinggal bagi menjaga kepentingan fizikal, demikian juga nafsu syahwat yang Allah kurniakan itu juga memerlukan penyelesaian. Jika itu tidak dilakukan maka pastilah ketenangan hati sukar dicapai.

Pernah Saidina Abbas r.a menghimpunkan anak-anak lelakinya yang masing-masing telah remaja, lalu beliau berkata kepada anak-anak remajanya itu:

"Wahai anak-anakku, jika kamu semua telah mempunyai keinginan untuk berkahwin, maka beritahulah kepada ku, InsyaAllah aku akan berusaha untuk mengahwinkan kamu. Kerana apabila seseorang manusia telah melakukan zina maka ketika itu Allah SWT cabut iman mereka dari hatinya."

Keimanan adalah suatu hidayah kurniaan Allah SWT kepada hamba-Nya. Sekiranya iman itu telah dicabut lantaran hamba tersebut melakukan zina maka tidak mudah Ia hendak dibina kembali atau diperolehi semula. Kerana perbuatan zina itu adalah perbuatan orang yang fasik dan zalim yang tidak mendapat hidayah dari Allah SWT.

Demikian beberapa pendapat dan pandangan seorang sahabat Rasulullah SAW tentang perkahwinan dan keperluannya.

Sesungguhnya banyak keterangan di dalam al-Quran tentang adab-adab nikah, dengan adanya ayat-ayat yang mendorong ke arah perkahwinan itu. Terdapat begitu banyak kisah para nabi-nabi yang menjelaskan kehidupan mereka bersama isteri-isteri serta mempunyai anak dan cucu.

Terdapat di dalam ungkapan dan doa para nabi yang bermohon kepada Allah SWT semoga Allah SWT mengurniakan kepada mereka anak-anak dan cucu sebagai seuatu yang menjadi tenang mata memandang (Qurrota Aaayun). Doa-doa tersebut membuktikan bahawa nabi-nabi atau orang yang soleh melakukan perkahwinan.

Rasulullah juga menjelaskan di dalam hadithnya yang bermaksudkan: "Sekiranya kamu mempunyai anak-anak perempuan yang sudah remaja, lalu datang seseorang yang datang meminang, jika kamu dapati laki-laki yang masuk meminang itu baik akhlaknya, agamanya dan sebagainya, maka segeralah kamu menikahkannya."

Hadith tersebut membayangkan ibu bapa mempunyai tanggungjawab untuk menikahkan anak-anak perempuan mereka yang remaja, kerana untuk menjaga kebajikan anak-anak remaja itu dan melindunginyadengan perkahwinan itu agar ia terselamat dan terjerumus ke lembah perzinaan yang membawa kepada keruntuhan akhlak dan iman.

Permasalahnya sekarang bila ditanya oleh couple2 jawapan yang mereka berikan “saya belum bersedia lagi” tapi apabila melihat kembali sudah pun bersedia keluar sekali, berpegangan tangan, jadi jawapan yg diberikan sama sekali tidak bersasas. Bukankah itu menunjukan kesediaan kepada “Mukadimah Zina??”

Dalam hal ini Agama sudah jelas membawa kepada kita. Dengan panduan yang baik demi kesejahteraan umat itu sendiri. Dalam konteks masalah ini banyak pandangan ulama dalam hal masalah ini.dengan banyaknya masalah sosial, rogol, sumbang mahram dan sebagainya. Adakah masalah ini akan belanjutan sehingga generasi yang akan datang?? Dalam masalah ini saya bawakan pendapat Dr.Abdullah Nasih Ulwan yang menyarankan perkahwinan segera dan pengislahan persekitaran sahaja yang boleh menyelesaikan masalah sosial ini. Tentu usaha kita terhad tanpa bantuan pihak berkuasa.

Perkahwinan adalah satu syariat, tuntutan dan kewajipan dalam membina masyarakat yang unggul. Allah s.wt telah mensyariatkan perkahwinan sebagai satu jalan keluar kepada pelbagai perkara. Bukan bermaksud mensyariat kahwin awal bermaksud kawin di bawah umur mengikut undang-undang yng berbeza setiap Negara. Tiada sempadan umur layak berkahwin dalam islam. Usia “shabab” atau belia remaja dalah waktu sesuai untuk mendirikan rumah tangga berdasarkan seruan Rasulullah S.A.W

يا معشر الشباب من استطاع منكم البأءة فليتزوج فاءنه أغض للبصر و أحصن للفرج و من لم يستطع فعليه بااصوم فاءنه له وجاء

Maksudnya: “Wahai pemuda(belia) sesiapa yang mampu dikalangan kamu untuk (berjima) maka berkahwinlah, Sesunguhnya ia menundukkan pandangan kamu, memelihara kemaluan mu(kehormatan) dan bagi sesiapa dikalangan kamu yang tidak mampu dengannya adalah dengan berpuasa. Sesungguhnya ia adalah pencegahnya”

Pada usia inilah tenaga, kekuatan dan kehendak seks itu berkumpul. Rasulullah S.A.W juga menyarankan agar memilih pasangan yang di kalangan mereka yang muda kerana masing-masing akan melayan kehendak pasangan, melaksanakan tangungjawab rumah tangga. Bagi wanita pula, inilah masa sesuai untuk melahirkan zuriat yang sihat dan generasi yang baik demi kesejahteraan ummah.

Bagi permasalah ini pula akan timbul bagi pasangan yang tidak mampu dari segi ekonomi. Kalau nak kahwin kena ada duit. Kalau tak macam mana nk tangung isteri dan anak2?? Melihat pemasalahan ini memang ia tidak dapat dinafikan ia adalah sangat penting tetapi kita perlulah berusaha melihat di hadapan dengan lebih positif. Dan inilah yang di anjurkan dalam Islam. Kerja dengan niat yang baik adalah ibadat. Janganlah kita bimbang akan rezekinya. Sebab Tuhan yang memberikan rezeki. Bahkan rezeki itu sendiri tidak akan datang melainkan kita berusaha bersungguh-sungguh.

SARANAN&HUJAH

Hujah yang mengalakkan kahwin segera awal boleh dikeluarkan dari dalil-dalil berikut:

وأنكحوا الأيامى منكم والصالحين من عبادكم وامائكم ان يكونوا فقراءيغنهم الله من فضله والله واسع عليم

Maksud firman Allah swt: “Dan kahwinlah orang-orang bujang diantara kamu dan orang-orang yang layak berkahwin dari hamba yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin,Allah swt akan memberikan kemampuan kepada mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha Luas pemberiannya lagi Maha Mengetahui”.

Al-Qurtubi menafsirkan ayat tersebut dengan menyarankan kepada penjaga agar memberikan kemudahan dan bantuan untuk melaksanakan perkahwinan mereka.

Arahan “kahwinlah” menunujukan mereka yang mempunyai kuasa dalam memberikan arahan. Tanggungjawab ini tepikul kepada penjaga sama ada lelaki atau wanita.

Janganlah sampai takutkan kemiskinan maka pihak yang dipertanggungjawabkan sangup menghalang anak jagaannya daripada berkahwin .Tidak sepatutnya bagi seseorang yang beriman dengan Allah swt meletakkan ketakutan sebegini kerana ia bukanlah merupakan suatu asas yang kukuh.

Dari Abu Hurairah r.a bersabda Rasulullah s.a.w: “Apabila meminang seorang lelaki yang kau redhai Agamanya,akhlaknya dan amanahnya maka kahwinkanlah ia,jika tidak dilakukan, terjadilah ia fitnah dan kerosakan yang meluas”.(at-Tirmizi)

Jelas baginda menganjurkan kepada penjaga agar kahwinkan anak mereka dengan lelaki yang mempunyai agama, akhlak, amanah. Ini kerana sifat tersebutlah yang menjamin sesuatu keluarga itu bahagia. Ada pun meletakkan syarat-syarat tambahan di takuti memberatkan bagi jagaannya mencari jodoh seterusnya mebawa fitnah kerosakan di dalam masyarakat.


Dari Ali r.a sesungguhnya Rasulullah saw telah bersabda : “ Tiga perkara jangan kau tangguhkan, Solat apabila tiba waktunya, Mayat apabila sampai, dan Bujang yang ditemukan sekufunya”.

Dari fatimah binti Qais , Sesungguhnya Rasulullah saw telah megarahkannya mengahwini Usamah bin Zaid pada ketika itu berusia belum menjangkau 16 tahun. Nikahlah kamu akan Usamah bin Zaid” Maka aku enggan. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda “Nikahlah dengan Usamah bin Zaid”. Maka aku nikahinya. Maka Allah swt telah memberikan kebaikan kelapangan(Riwayat muslim)

Dari saidina Umar bin al-Khattab r.a sesungguhnya telah berkata: Kahwinlah anak-anak kamu apabila sampai baligh, Janganlah kamu menanggung dosa-dosa mereka. (Disebut oleh Ibnu Jauzi dalam Ahkam An-Nisa)

Jelas pada kita bahawa Nabi telah memberi garis panduan yang jelas kepada kita. Dan Nabi juga memahami keinginan remaja apatah lagi dengan nafsu yang kuat. Nabi memberi kaedah seperti puasa. Dengan berpuasa dapat menahan dari seseorang dari mengikut hawa nafsu. Seperti pepatah “Nasfu kamu jika tidak disibukkan dengan Allah maka ia akan mennyibukkan dirimu dengan perkara-perkara batil”. Dengan itu jelas bahawa perkahwinan di usia muda adalah satu rahmat kebaikan dan dapat menyelamatkan seseorang itu dari fitnah dan maksiat. Antara-antara kelebihan-kelebihan perkahwinan awal adalah mendekatkan diri kepada Allah swt dan agama. Adalah ibadat dan sempurna ibadat dengan berkahwin, menjaga dan menyelamatkan hubungan sesorang itu dengan ikatan yang sah dapat melahirkan zuriat dan keturunan yang baik, menjaga dari hilangnya kemanisan perkahwinan itu, masa dengan pasangan adalah lebih dan dapat merancang dengan baik, budaya “ becouple” ketika kahwin adalah terbaik.

Liberalisasi Ekonomi

Pengumuman Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meliberalkan ekonomi Malaysia bukan perkara yang baru. Pada tahun 90-an, Malaysia pernah membuka ruang untuk pelabur luar membeli saham atau ekuiti sehingga 30 peratus dalam badan korporat Malaysia.

Tujuan ketika itu adalah untuk menarik perhatian pelabur luar supaya menyimpan dan melabur duit mereka di negara ini dan mempromosikan Malaysia sebagai salah satu pusat kewangan antarabangsa yang mampan.

Dasar Perdana Menteri yang baru ini sebenarnya melakukan pendekatan yang dinamik dalam menguruskan ekonomi negara, umpama 'getah' yang boleh dilenturkan sebesar yang mungkin.

Meliberalkan ekonomi boleh difahami sebagai satu usaha menggalakkan persaingan secara merit dalam usaha membangunkan sumber/lebihan aset negara atau individu.

Dalam kerangka falsafah dan wacana liberal ekonomi semasa, apa yang mereka perjuangkan adalah kebebasan mutlak individu atau pasaran yang menentukan perjalanan ekonomi. Bahkan mereka boleh menolak campur tangan kerajaan yang hanya secara dibenarkan secara minimum.

Dari Adam Smith, David Hume, David Ricardo, sehingga tokoh ekonomi liberal kontemporari seperti Friedrich Hayek dan Milton Friedman, semua mengangkat darjat humanisme sebagai ukuran mutlak kejayaan sesuatu ekonomi. Tidak ada peranan kerajaan, bahkan agama sebagai pemandu dan panduan ekonomi negara.

Bagi mereka, manusia perlu diberi kebebasan mutlak mengaut keuntungan, walaupun dengan menggondolkan tanah, menipu, merampas hak orang atau menindas.

Dasar meliberalkan ekonomi negara tidak sama dengan kerangka falsafah pemikiran yang dianjurkan oleh tokoh-tokoh seperti itu. Hakikatnya, Malaysia masih mengambil pendekatan dualistik atau 'serampang dua mata', iaitu membuka ruang pesaing luar untuk melabur dan pada masa yang sama kerajaan berperanan teguh dan berdisiplin mengawal secara hikmah ekonomi negara.

Dalam konteks falsafah ekonomi negara, dasar ekonomi negara merupakan adunan tiga bentuk pemikiran falsafah ekonomi yang dominan iaitu sosialisme, kapitalisme (neo-liberal) dan Islam sendiri.

Walaupun ada ilmuwan ekonomi Muslim seperti Umar Chapra yang menentang apabila mengatakan orientasi kapitalisme dan sosialisme, ada juga persamaan kefahamannya dengan orientasi Islam.

Bagi beliau, kefahaman itu menunjukkan kedangkalan prinsip asas dalam ketiga-tiga dasar pemikiran itu.

Namun hakikatnya ada nilai yang dikongsi bersama dalam ketiga-tiga pemikiran tersebut yang akhirnya boleh ditemui dalam ajaran Islam sendiri.

Tidak keterlaluan mengatakan corak dan gaya mengurus ekonomi Malaysia tidak akan lari daripada tiga komponen falsafah pemikiran ekonomi ini. Tidak boleh mengatakan ekonomi Malaysia kapitalisme per-se, apabila melihatkan penumpuan besar kepada pembangunan projek mega dan pembukaan sektor ekonomi yang menggalakkan keuntungan maksimum.

Ini kerana, Malaysia banyak membantu mengangkat martabat ekonomi masyarakat miskin dan kaum yang memerlukan. Contohnya, Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Peningkatan Daya Pengeluaran Negara (DPDPN), Dasar Penswastaan dan banyak lagi.

Membasmi kemiskinan

Hatta kerajaan sentiasa mengumumkan agenda membasmi kemiskinan, yang boleh dilihat kejayaannya, apabila mensasarkan tahun 2010 sebagai sifar kemiskinan tegar.

Menurut kajian Jabatan Statistik, pendapatan isi rumah Malaysia meningkat kepada RM3,686 sebulan pada 2007, daripada RM3,249 pada tahun 2004. Peningkatan sebanyak 4.3 peratus itu disebabkan pertumbuhan ekonomi positif yang menjana peluang pekerjaan serta pendapatan rakyat Malaysia. (Bernama, 7 April 2008)

Malah, jika mengatakan menggunakan kerangka ekonomi Islam secara menyeluruh, tidak tepat juga. Walaupun ada menjurus kepada mengangkat keadilan dan mengurus kemiskinan, melalui pembahagian wang zakat dan seumpamanya, hakikatnya masih ada lagi yang perlu diperbaiki.

Jika kerangka ekonomi Islam digunakan, seharusnya falsafah ekonomi Islam diajar dan dijadikan silibus utama dalam semua pendidikan ekonomi yang ada di sekolah dan universiti.

Tokoh ekonomi Muslim seperti Al- Maqarizi, Ibn Khaldun, Abu Yusuf dan ramai lagi diperkenalkan dan dikembangkan ideanya.

Apa yang ada adalah subjek dan buku teks ekonomi yang didominasi oleh kerangka fikir Barat yang sama ada berpaksikan kapitalisme atau sosialisme. Hanya yang ada ialah usaha bersendirian dan sesetengah pihak sahaja yang bersungguh mengangkat wacana ekonomi Islam sebagai teras utama.

Kehadiran perbankan Islam dilihat sebagai 'menyelamatkan' sektor ekonomi secara keseluruhan, kerana menggunakan kerangka 'syariah' dalam menguruskan aktiviti perbankan. Walaupun masih muda dan berpotensi jauh, perbankan Islam sebenarnya harus melonjak jauh dengan 'membersihkan' diri daripada elemen perbankan konvensional yang masih melekat.

Antara isu yang perlu ditangani ialah sistem riba, wang fiat dan fractional reserve system. Apabila melihat dasar yang dinamik dan unik ini, Malaysia berusaha menguruskan ekonomi negara menggunakan acuan tersendiri.

Usaha ini boleh menampakkan kejayaan dalam sejarah mengurus negara, terutamanya pada tahun krisis 1997. Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad 'melawan arus', apabila tidak meminjam daripada Dana Mata Wang Antarabangsa (IMF) untuk menguruskan ekonomi negara, berbanding negara-negara lain.

Kini, dasar meliberalkan ekonomi negara itu kembali dan beberapa faktor perlu dilihat secara kritis.

Apabila kerajaan membuka polisi untuk pelabur luar memiliki saham/ekuiti sehingga 70 peratus dalam perbankan Islam, bank pelaburan, takaful dan syarikat insurans adalah usaha yang positif. Tujuannya mempromosi pelabur luar ke Malaysia.

Apabila sejumlah wang yang besar dilaburkan di Malaysia, ekonomi negara boleh dipacu dengan segera. Putaran ekonomi dan kuasa membeli dari sektor kerajaan sehingga individu dapat dijana. Namun demikian, bagi perbankan Islam, cabaran sangat getir.

Ekuiti 70 peratus yang diperoleh oleh pelabur luar dalam sesebuah perbankan Islam tempatan sebenarnya 'mencabar' dasar kuota yang sering dipertahankan. Namun dalam konteks ekonomi semasa, dasar ini melawan arus.

Sudah tentu bagi orang Melayu, secara diam-diam, polisi terbuka dan merit telah berjalan dan menuntut supaya lebih bersedia dan berdaya saing.

Secara objektif, tidak ada penentangan secara kuat daripada orang Melayu, memandangkan mungkin subjek ekuiti dalam perbankan Islam masih jauh dan tidak melekat di sanubari mereka. Dua lesen perbankan Islam kepada pemain luar negara dengan modal RM3.5 bilion menuntut perbankan Islam sedia ada bersaing dengan kuat dan dedikasi.

Dari segi modal 'poket', perbankan Islam dari luar negara, hakikatnya mempunyai lebihan modal yang besar dan banyak, kerana industri minyak yang membantu. Justeru memungkinkan mereka mempunyai pakej produk dan servis, serta fasiliti perbankan yang lebih menarik dan dinamik.

Malah, dalam konteks produk perbankan Islam, pemain luar negara mampu menawarkan produk yang kurang kontroversi. Berbanding perbankan Islam tempatan, apabila Hakim Wahab Patail mengisytiharkan produk Bai' Bithamin Ajil (BBA) tidak mematuhi syariah pada Julai 2008, yang menjadi wake up call kepada semua perbankan Islam.

Maknanya, ia akan menjejaskan hampir majoriti portfolio perbankan Islam yang menggunakan BBA akan dikategorikan sebagai tidak patuh syariah.

Walaupun begitu, keputusan itu dikritik kerana tidak menggunakan kaedah yang kemas dalam mengeluarkan penghakiman. Sebabnya tidak merujuk kepada pakar syariah perbankan Islam. Bahkan dikatakan telah re-write kontrak sedia ada yang telah dipersetujui oleh pelanggan dan bank.

Namun, pada Mac 2009, keputusan terbaru mengenai kepatuhan syariah produk BBA oleh Bank Islam telah diisytiharkan kemenangan moral kembali kepada perbankan Islam.

Namun demikian, tidak selamanya perbankan Islam tempatan boleh selesa dengan produk yang sedia ada. Persaingan apabila 'langit luas terbuka' menuntut kreativiti yang dinamik dan ketajaman membaca situasi pasaran untuk mempromosikan produk tempatan.

Polisi 70 peratus tidak dibuka kepada perbankan komersial konvensional, hanya perbankan pelaburan sahaja. Pelabur luar sebenarnya berminat dengan perbankan komersial konvensional.

Hakikatnya, kerana pakej dan pasaran perniagaan semasa (retail market) lebih menarik dan mudah mengaut untung.

Permintaan

Permintaan membeli rumah, kereta, deposit dan sebagainya mempunyai permintaan yang berterusan dan boleh menjamin pusingan pasaran yang konsisten. Berbanding perbankan pelaburan, yang menumpukan kepada modal pasaran seperti bon dan hartanah yang terlalu terhad.

Justeru, apakah manfaat liberalisasi ekonomi kepada rakyat secara keseluruhan? Mungkin peringkat mikro ekonomi, dasar ini tidak dekat dengan jiwa masyarakat Malaysia, terutama bila mahu dikaitkan dengan penyelesaian masalah ekonomi seharian.

Namun, di peringkat makro ekonomi dan jangka panjang, liberalisasi ekonomi ada peluang untuk dijayakan. Terutamanya menjadikan Malaysia sebagai hab perbankan Islam sedunia.

London berjaya dari segi menarik pelabur sebagai hab kewangan konvensional antarabangsa. Malaysia semestinya merancang dan menyusun strategi ke arah itu.

Liberalisasi ekonomi harus menguntungkan rakyat Malaysia. Ia boleh dicapai dengan meningkatkan kesedaran menyokong produk dan servis perbankan Islam di kalangan massa, menggalakkan pelaburan yang mematuhi syariah, menggalakkan pembelian emas dinar sebagai pelaburan masa depan.

Saham Naik..

Harga saham di Bursa Malaysia dijangka terus meningkat minggu depan berikutan minat belian susulan berdasarkan kepada peningkatan keyakinan pemulihan dalam ekonomi global, kata seorang penganalisis.

Pasaran melepasi paras 1,000 awal minggu ini berikutan sokongan kekuatan ekonomi global yang bertambah baik.

Ketua Penyelidikan Jupiter Securities Sdn. Bhd., Pong Teng Siew berkata, terdapat sedikit ruang bagi keyakinan dalam pasaran tempatan berikutan penambahbaikan fundamental ekonomi tempatan seperti aliran meningkat harga komoditi dan pemulihan eksport pembuatan.

"Terdapat harapan jika ekonomi di AS pulih, eksport pembuatan juga akan bertambah baik.

"Kami belum begitu pasti lagi tetapi buat masa ini pasaran mendapat sedikit keyakinan tentang eksport, membawa kepada pemulihan harga saham," katanya.

Paras sokongan dan ketahanan bagi Indeks Komposit Kuala Lumpur dijangka antara 1,018 dan 1,060 minggu depan, katanya.

Beliau berkata, pengumuman data senarai gaji bukan ladang di AS dan angka perdagangan Malaysia akan membantu mentakrif pergerakan pasaran saham minggu depan.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran mungkin terdapat sedikit risiko dengan pengambilan untung mendadak dijangka berlaku.

"Ketika pelabur boleh mengharapkan peningkatan yang perlahan-lahan dalam tempoh 2-3 minggu akan datang, antara tempoh tersebut akan terdapat pengambilan untung sekali sekala," katanya.

Bagi asas mingguan, IKKL ditutup dalam minggu yang baru berakhir ini kepada 1,026.78, naik 36.04 mata daripada penutupan 990.74 pada minggu sebelumnya.

Indeks Perusahaan naik 2.66 mata kepada 2,258.76, Indeks Kewangan meningkat 592.56 mata kepada 8,131.59 dan Indeks Perladangan menokok 56.79 mata kepada 5,038.63.

FBMEmas naik 305.78 mata kepada 6,847.64, FBM30 menambah 220.42 mata kepada 6,552.5, FBM2BRD meningkat 244.9 mata kepada 4,550.63 manakala FBM-MDQ menokok 719.07 mata kepada 4,207.14.

Keseluruhannya, jumlah dagangan minggu ini meningkat kepada 12.764 bilion saham bernilai RM9.869 bilion daripada 6.361 bilion saham bernilai RM5.442 bilion minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Papan Utama naik kepada 10.235 bilion saham bernilai RM9.396 bilion daripada 5.426 bilion saham bernilai RM5.146 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan di Papan kedua meningkat kepada 804.110 juta saham bernilai RM228.667 juta daripada 550.146 juta saham bernilai RM237.525 juta Khamis minggu sebelumnya.

Pasaran ditutup pada Jumaat minggu tersebut sempena cuti Hari Buruh.

Jumlah dagangan di Pasaran Mesdaq meningkat kepada 1.482 bilion saham bernilai RM203.264 juta daripada 253.188 juta saham bernilai RM17.591 juta minggu sebelumnya.

Waran menambah kepada 207.708 juta saham bernilai RM32.976 juta daripada 112.670 juta saham bernilai RM14.928 juta sebelumnya. - Bernama