Monday, June 1, 2009

KAHWIN AWAL

Adakah berkahwin awal satu tuntutan pada masa sekarang? Persoalannya sekarang adakah seseorang yang muda yang umur meningkat ke 20 tahun dan telah menpunyai couple atau tidak, tapi mepunyai keinginan untuk berkahwin awal adalah jalan terbaik buat remaja masa kini.? Adakah dengan kahwin awal dapat menyelamatkan dari segala kejahatan(maksiat) kepada Allah?a

Cuba kita lihat perkahwinan itu sendiri ialah menghalalkan segala yg haram. Menurut Saidina Abbas r.a, bahawa tidak sempurna ibadat seseorang kecuali apabila ia sudah berkahwin. Persoalannya adakah kahwin itu suatu ibadat??

Saidina Abbas lebih cenderung untuk meletakkan perkahwinan itu sendiri merupakan suatu ibadat, ataupun ia dikira sebagai suatu kesempurnaan bagi perlaksanaan ibadah.

Yang dimaksudkan oleh Saidina Abbas iaitu tidak tenang hati seorang hendak beribadat kepada Allah SWT kerana dorongan syahwat yang telah ditakdirkan kepada keturunan Adam, kecuali setelah ia berkahwin. Walaupun seseorang itu kuat melakukan ibadat, seorang tok lebai yang baik budi pekertinya dan berakhlak mulia, namun ia terpaksa mengakui keperluan yang telah ditakdirkan oleh Allah SWT dari segi nafsu syahwat, maka kedudukannya sebagai tok lebai itu belum boleh menjadi suatu jaminan melainkan ia kembali ke fitrahnya yang semula jadi itu untuk berkahwin.

Lebih-lebih lagi di zaman yang penuh pancaroba; buka jendela di pagi hari, sudah lihat perkara-perkara yang boleh mengoda perasaannya. Sedangkan di zaman Saidina Abbas r.a itu pun beliau telah merasakan tidak selamat tanpa berkahwin, betapa pula di zaman sekarang yang begitu banyak pendedahan perkara-perkara yang membangkitkan keinginan seseorang terhadap syahwat.

Oleh yang demikian perkahwinan menjadi suatu perkara yang sangat mustahak kerana ia akan menjadi perisai kepada keimanan.

Tidak sempurna suatu ibadat kecuali ia dilakukan dengan kelapangan hati. Kelapangan dan ketenangan hati akan lebih mudah dicapai setelah Seseorang itu menempuh perkahwinan. Jika seseorang itu memerlukan makan minum dan pakaian serta tempat tinggal bagi menjaga kepentingan fizikal, demikian juga nafsu syahwat yang Allah kurniakan itu juga memerlukan penyelesaian. Jika itu tidak dilakukan maka pastilah ketenangan hati sukar dicapai.

Pernah Saidina Abbas r.a menghimpunkan anak-anak lelakinya yang masing-masing telah remaja, lalu beliau berkata kepada anak-anak remajanya itu:

"Wahai anak-anakku, jika kamu semua telah mempunyai keinginan untuk berkahwin, maka beritahulah kepada ku, InsyaAllah aku akan berusaha untuk mengahwinkan kamu. Kerana apabila seseorang manusia telah melakukan zina maka ketika itu Allah SWT cabut iman mereka dari hatinya."

Keimanan adalah suatu hidayah kurniaan Allah SWT kepada hamba-Nya. Sekiranya iman itu telah dicabut lantaran hamba tersebut melakukan zina maka tidak mudah Ia hendak dibina kembali atau diperolehi semula. Kerana perbuatan zina itu adalah perbuatan orang yang fasik dan zalim yang tidak mendapat hidayah dari Allah SWT.

Demikian beberapa pendapat dan pandangan seorang sahabat Rasulullah SAW tentang perkahwinan dan keperluannya.

Sesungguhnya banyak keterangan di dalam al-Quran tentang adab-adab nikah, dengan adanya ayat-ayat yang mendorong ke arah perkahwinan itu. Terdapat begitu banyak kisah para nabi-nabi yang menjelaskan kehidupan mereka bersama isteri-isteri serta mempunyai anak dan cucu.

Terdapat di dalam ungkapan dan doa para nabi yang bermohon kepada Allah SWT semoga Allah SWT mengurniakan kepada mereka anak-anak dan cucu sebagai seuatu yang menjadi tenang mata memandang (Qurrota Aaayun). Doa-doa tersebut membuktikan bahawa nabi-nabi atau orang yang soleh melakukan perkahwinan.

Rasulullah juga menjelaskan di dalam hadithnya yang bermaksudkan: "Sekiranya kamu mempunyai anak-anak perempuan yang sudah remaja, lalu datang seseorang yang datang meminang, jika kamu dapati laki-laki yang masuk meminang itu baik akhlaknya, agamanya dan sebagainya, maka segeralah kamu menikahkannya."

Hadith tersebut membayangkan ibu bapa mempunyai tanggungjawab untuk menikahkan anak-anak perempuan mereka yang remaja, kerana untuk menjaga kebajikan anak-anak remaja itu dan melindunginyadengan perkahwinan itu agar ia terselamat dan terjerumus ke lembah perzinaan yang membawa kepada keruntuhan akhlak dan iman.

Permasalahnya sekarang bila ditanya oleh couple2 jawapan yang mereka berikan “saya belum bersedia lagi” tapi apabila melihat kembali sudah pun bersedia keluar sekali, berpegangan tangan, jadi jawapan yg diberikan sama sekali tidak bersasas. Bukankah itu menunjukan kesediaan kepada “Mukadimah Zina??”

Dalam hal ini Agama sudah jelas membawa kepada kita. Dengan panduan yang baik demi kesejahteraan umat itu sendiri. Dalam konteks masalah ini banyak pandangan ulama dalam hal masalah ini.dengan banyaknya masalah sosial, rogol, sumbang mahram dan sebagainya. Adakah masalah ini akan belanjutan sehingga generasi yang akan datang?? Dalam masalah ini saya bawakan pendapat Dr.Abdullah Nasih Ulwan yang menyarankan perkahwinan segera dan pengislahan persekitaran sahaja yang boleh menyelesaikan masalah sosial ini. Tentu usaha kita terhad tanpa bantuan pihak berkuasa.

Perkahwinan adalah satu syariat, tuntutan dan kewajipan dalam membina masyarakat yang unggul. Allah s.wt telah mensyariatkan perkahwinan sebagai satu jalan keluar kepada pelbagai perkara. Bukan bermaksud mensyariat kahwin awal bermaksud kawin di bawah umur mengikut undang-undang yng berbeza setiap Negara. Tiada sempadan umur layak berkahwin dalam islam. Usia “shabab” atau belia remaja dalah waktu sesuai untuk mendirikan rumah tangga berdasarkan seruan Rasulullah S.A.W

يا معشر الشباب من استطاع منكم البأءة فليتزوج فاءنه أغض للبصر و أحصن للفرج و من لم يستطع فعليه بااصوم فاءنه له وجاء

Maksudnya: “Wahai pemuda(belia) sesiapa yang mampu dikalangan kamu untuk (berjima) maka berkahwinlah, Sesunguhnya ia menundukkan pandangan kamu, memelihara kemaluan mu(kehormatan) dan bagi sesiapa dikalangan kamu yang tidak mampu dengannya adalah dengan berpuasa. Sesungguhnya ia adalah pencegahnya”

Pada usia inilah tenaga, kekuatan dan kehendak seks itu berkumpul. Rasulullah S.A.W juga menyarankan agar memilih pasangan yang di kalangan mereka yang muda kerana masing-masing akan melayan kehendak pasangan, melaksanakan tangungjawab rumah tangga. Bagi wanita pula, inilah masa sesuai untuk melahirkan zuriat yang sihat dan generasi yang baik demi kesejahteraan ummah.

Bagi permasalah ini pula akan timbul bagi pasangan yang tidak mampu dari segi ekonomi. Kalau nak kahwin kena ada duit. Kalau tak macam mana nk tangung isteri dan anak2?? Melihat pemasalahan ini memang ia tidak dapat dinafikan ia adalah sangat penting tetapi kita perlulah berusaha melihat di hadapan dengan lebih positif. Dan inilah yang di anjurkan dalam Islam. Kerja dengan niat yang baik adalah ibadat. Janganlah kita bimbang akan rezekinya. Sebab Tuhan yang memberikan rezeki. Bahkan rezeki itu sendiri tidak akan datang melainkan kita berusaha bersungguh-sungguh.

SARANAN&HUJAH

Hujah yang mengalakkan kahwin segera awal boleh dikeluarkan dari dalil-dalil berikut:

وأنكحوا الأيامى منكم والصالحين من عبادكم وامائكم ان يكونوا فقراءيغنهم الله من فضله والله واسع عليم

Maksud firman Allah swt: “Dan kahwinlah orang-orang bujang diantara kamu dan orang-orang yang layak berkahwin dari hamba yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin,Allah swt akan memberikan kemampuan kepada mereka dengan kurniaNya. Dan Allah Maha Luas pemberiannya lagi Maha Mengetahui”.

Al-Qurtubi menafsirkan ayat tersebut dengan menyarankan kepada penjaga agar memberikan kemudahan dan bantuan untuk melaksanakan perkahwinan mereka.

Arahan “kahwinlah” menunujukan mereka yang mempunyai kuasa dalam memberikan arahan. Tanggungjawab ini tepikul kepada penjaga sama ada lelaki atau wanita.

Janganlah sampai takutkan kemiskinan maka pihak yang dipertanggungjawabkan sangup menghalang anak jagaannya daripada berkahwin .Tidak sepatutnya bagi seseorang yang beriman dengan Allah swt meletakkan ketakutan sebegini kerana ia bukanlah merupakan suatu asas yang kukuh.

Dari Abu Hurairah r.a bersabda Rasulullah s.a.w: “Apabila meminang seorang lelaki yang kau redhai Agamanya,akhlaknya dan amanahnya maka kahwinkanlah ia,jika tidak dilakukan, terjadilah ia fitnah dan kerosakan yang meluas”.(at-Tirmizi)

Jelas baginda menganjurkan kepada penjaga agar kahwinkan anak mereka dengan lelaki yang mempunyai agama, akhlak, amanah. Ini kerana sifat tersebutlah yang menjamin sesuatu keluarga itu bahagia. Ada pun meletakkan syarat-syarat tambahan di takuti memberatkan bagi jagaannya mencari jodoh seterusnya mebawa fitnah kerosakan di dalam masyarakat.


Dari Ali r.a sesungguhnya Rasulullah saw telah bersabda : “ Tiga perkara jangan kau tangguhkan, Solat apabila tiba waktunya, Mayat apabila sampai, dan Bujang yang ditemukan sekufunya”.

Dari fatimah binti Qais , Sesungguhnya Rasulullah saw telah megarahkannya mengahwini Usamah bin Zaid pada ketika itu berusia belum menjangkau 16 tahun. Nikahlah kamu akan Usamah bin Zaid” Maka aku enggan. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda “Nikahlah dengan Usamah bin Zaid”. Maka aku nikahinya. Maka Allah swt telah memberikan kebaikan kelapangan(Riwayat muslim)

Dari saidina Umar bin al-Khattab r.a sesungguhnya telah berkata: Kahwinlah anak-anak kamu apabila sampai baligh, Janganlah kamu menanggung dosa-dosa mereka. (Disebut oleh Ibnu Jauzi dalam Ahkam An-Nisa)

Jelas pada kita bahawa Nabi telah memberi garis panduan yang jelas kepada kita. Dan Nabi juga memahami keinginan remaja apatah lagi dengan nafsu yang kuat. Nabi memberi kaedah seperti puasa. Dengan berpuasa dapat menahan dari seseorang dari mengikut hawa nafsu. Seperti pepatah “Nasfu kamu jika tidak disibukkan dengan Allah maka ia akan mennyibukkan dirimu dengan perkara-perkara batil”. Dengan itu jelas bahawa perkahwinan di usia muda adalah satu rahmat kebaikan dan dapat menyelamatkan seseorang itu dari fitnah dan maksiat. Antara-antara kelebihan-kelebihan perkahwinan awal adalah mendekatkan diri kepada Allah swt dan agama. Adalah ibadat dan sempurna ibadat dengan berkahwin, menjaga dan menyelamatkan hubungan sesorang itu dengan ikatan yang sah dapat melahirkan zuriat dan keturunan yang baik, menjaga dari hilangnya kemanisan perkahwinan itu, masa dengan pasangan adalah lebih dan dapat merancang dengan baik, budaya “ becouple” ketika kahwin adalah terbaik.

Liberalisasi Ekonomi

Pengumuman Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meliberalkan ekonomi Malaysia bukan perkara yang baru. Pada tahun 90-an, Malaysia pernah membuka ruang untuk pelabur luar membeli saham atau ekuiti sehingga 30 peratus dalam badan korporat Malaysia.

Tujuan ketika itu adalah untuk menarik perhatian pelabur luar supaya menyimpan dan melabur duit mereka di negara ini dan mempromosikan Malaysia sebagai salah satu pusat kewangan antarabangsa yang mampan.

Dasar Perdana Menteri yang baru ini sebenarnya melakukan pendekatan yang dinamik dalam menguruskan ekonomi negara, umpama 'getah' yang boleh dilenturkan sebesar yang mungkin.

Meliberalkan ekonomi boleh difahami sebagai satu usaha menggalakkan persaingan secara merit dalam usaha membangunkan sumber/lebihan aset negara atau individu.

Dalam kerangka falsafah dan wacana liberal ekonomi semasa, apa yang mereka perjuangkan adalah kebebasan mutlak individu atau pasaran yang menentukan perjalanan ekonomi. Bahkan mereka boleh menolak campur tangan kerajaan yang hanya secara dibenarkan secara minimum.

Dari Adam Smith, David Hume, David Ricardo, sehingga tokoh ekonomi liberal kontemporari seperti Friedrich Hayek dan Milton Friedman, semua mengangkat darjat humanisme sebagai ukuran mutlak kejayaan sesuatu ekonomi. Tidak ada peranan kerajaan, bahkan agama sebagai pemandu dan panduan ekonomi negara.

Bagi mereka, manusia perlu diberi kebebasan mutlak mengaut keuntungan, walaupun dengan menggondolkan tanah, menipu, merampas hak orang atau menindas.

Dasar meliberalkan ekonomi negara tidak sama dengan kerangka falsafah pemikiran yang dianjurkan oleh tokoh-tokoh seperti itu. Hakikatnya, Malaysia masih mengambil pendekatan dualistik atau 'serampang dua mata', iaitu membuka ruang pesaing luar untuk melabur dan pada masa yang sama kerajaan berperanan teguh dan berdisiplin mengawal secara hikmah ekonomi negara.

Dalam konteks falsafah ekonomi negara, dasar ekonomi negara merupakan adunan tiga bentuk pemikiran falsafah ekonomi yang dominan iaitu sosialisme, kapitalisme (neo-liberal) dan Islam sendiri.

Walaupun ada ilmuwan ekonomi Muslim seperti Umar Chapra yang menentang apabila mengatakan orientasi kapitalisme dan sosialisme, ada juga persamaan kefahamannya dengan orientasi Islam.

Bagi beliau, kefahaman itu menunjukkan kedangkalan prinsip asas dalam ketiga-tiga dasar pemikiran itu.

Namun hakikatnya ada nilai yang dikongsi bersama dalam ketiga-tiga pemikiran tersebut yang akhirnya boleh ditemui dalam ajaran Islam sendiri.

Tidak keterlaluan mengatakan corak dan gaya mengurus ekonomi Malaysia tidak akan lari daripada tiga komponen falsafah pemikiran ekonomi ini. Tidak boleh mengatakan ekonomi Malaysia kapitalisme per-se, apabila melihatkan penumpuan besar kepada pembangunan projek mega dan pembukaan sektor ekonomi yang menggalakkan keuntungan maksimum.

Ini kerana, Malaysia banyak membantu mengangkat martabat ekonomi masyarakat miskin dan kaum yang memerlukan. Contohnya, Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Peningkatan Daya Pengeluaran Negara (DPDPN), Dasar Penswastaan dan banyak lagi.

Membasmi kemiskinan

Hatta kerajaan sentiasa mengumumkan agenda membasmi kemiskinan, yang boleh dilihat kejayaannya, apabila mensasarkan tahun 2010 sebagai sifar kemiskinan tegar.

Menurut kajian Jabatan Statistik, pendapatan isi rumah Malaysia meningkat kepada RM3,686 sebulan pada 2007, daripada RM3,249 pada tahun 2004. Peningkatan sebanyak 4.3 peratus itu disebabkan pertumbuhan ekonomi positif yang menjana peluang pekerjaan serta pendapatan rakyat Malaysia. (Bernama, 7 April 2008)

Malah, jika mengatakan menggunakan kerangka ekonomi Islam secara menyeluruh, tidak tepat juga. Walaupun ada menjurus kepada mengangkat keadilan dan mengurus kemiskinan, melalui pembahagian wang zakat dan seumpamanya, hakikatnya masih ada lagi yang perlu diperbaiki.

Jika kerangka ekonomi Islam digunakan, seharusnya falsafah ekonomi Islam diajar dan dijadikan silibus utama dalam semua pendidikan ekonomi yang ada di sekolah dan universiti.

Tokoh ekonomi Muslim seperti Al- Maqarizi, Ibn Khaldun, Abu Yusuf dan ramai lagi diperkenalkan dan dikembangkan ideanya.

Apa yang ada adalah subjek dan buku teks ekonomi yang didominasi oleh kerangka fikir Barat yang sama ada berpaksikan kapitalisme atau sosialisme. Hanya yang ada ialah usaha bersendirian dan sesetengah pihak sahaja yang bersungguh mengangkat wacana ekonomi Islam sebagai teras utama.

Kehadiran perbankan Islam dilihat sebagai 'menyelamatkan' sektor ekonomi secara keseluruhan, kerana menggunakan kerangka 'syariah' dalam menguruskan aktiviti perbankan. Walaupun masih muda dan berpotensi jauh, perbankan Islam sebenarnya harus melonjak jauh dengan 'membersihkan' diri daripada elemen perbankan konvensional yang masih melekat.

Antara isu yang perlu ditangani ialah sistem riba, wang fiat dan fractional reserve system. Apabila melihat dasar yang dinamik dan unik ini, Malaysia berusaha menguruskan ekonomi negara menggunakan acuan tersendiri.

Usaha ini boleh menampakkan kejayaan dalam sejarah mengurus negara, terutamanya pada tahun krisis 1997. Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad 'melawan arus', apabila tidak meminjam daripada Dana Mata Wang Antarabangsa (IMF) untuk menguruskan ekonomi negara, berbanding negara-negara lain.

Kini, dasar meliberalkan ekonomi negara itu kembali dan beberapa faktor perlu dilihat secara kritis.

Apabila kerajaan membuka polisi untuk pelabur luar memiliki saham/ekuiti sehingga 70 peratus dalam perbankan Islam, bank pelaburan, takaful dan syarikat insurans adalah usaha yang positif. Tujuannya mempromosi pelabur luar ke Malaysia.

Apabila sejumlah wang yang besar dilaburkan di Malaysia, ekonomi negara boleh dipacu dengan segera. Putaran ekonomi dan kuasa membeli dari sektor kerajaan sehingga individu dapat dijana. Namun demikian, bagi perbankan Islam, cabaran sangat getir.

Ekuiti 70 peratus yang diperoleh oleh pelabur luar dalam sesebuah perbankan Islam tempatan sebenarnya 'mencabar' dasar kuota yang sering dipertahankan. Namun dalam konteks ekonomi semasa, dasar ini melawan arus.

Sudah tentu bagi orang Melayu, secara diam-diam, polisi terbuka dan merit telah berjalan dan menuntut supaya lebih bersedia dan berdaya saing.

Secara objektif, tidak ada penentangan secara kuat daripada orang Melayu, memandangkan mungkin subjek ekuiti dalam perbankan Islam masih jauh dan tidak melekat di sanubari mereka. Dua lesen perbankan Islam kepada pemain luar negara dengan modal RM3.5 bilion menuntut perbankan Islam sedia ada bersaing dengan kuat dan dedikasi.

Dari segi modal 'poket', perbankan Islam dari luar negara, hakikatnya mempunyai lebihan modal yang besar dan banyak, kerana industri minyak yang membantu. Justeru memungkinkan mereka mempunyai pakej produk dan servis, serta fasiliti perbankan yang lebih menarik dan dinamik.

Malah, dalam konteks produk perbankan Islam, pemain luar negara mampu menawarkan produk yang kurang kontroversi. Berbanding perbankan Islam tempatan, apabila Hakim Wahab Patail mengisytiharkan produk Bai' Bithamin Ajil (BBA) tidak mematuhi syariah pada Julai 2008, yang menjadi wake up call kepada semua perbankan Islam.

Maknanya, ia akan menjejaskan hampir majoriti portfolio perbankan Islam yang menggunakan BBA akan dikategorikan sebagai tidak patuh syariah.

Walaupun begitu, keputusan itu dikritik kerana tidak menggunakan kaedah yang kemas dalam mengeluarkan penghakiman. Sebabnya tidak merujuk kepada pakar syariah perbankan Islam. Bahkan dikatakan telah re-write kontrak sedia ada yang telah dipersetujui oleh pelanggan dan bank.

Namun, pada Mac 2009, keputusan terbaru mengenai kepatuhan syariah produk BBA oleh Bank Islam telah diisytiharkan kemenangan moral kembali kepada perbankan Islam.

Namun demikian, tidak selamanya perbankan Islam tempatan boleh selesa dengan produk yang sedia ada. Persaingan apabila 'langit luas terbuka' menuntut kreativiti yang dinamik dan ketajaman membaca situasi pasaran untuk mempromosikan produk tempatan.

Polisi 70 peratus tidak dibuka kepada perbankan komersial konvensional, hanya perbankan pelaburan sahaja. Pelabur luar sebenarnya berminat dengan perbankan komersial konvensional.

Hakikatnya, kerana pakej dan pasaran perniagaan semasa (retail market) lebih menarik dan mudah mengaut untung.

Permintaan

Permintaan membeli rumah, kereta, deposit dan sebagainya mempunyai permintaan yang berterusan dan boleh menjamin pusingan pasaran yang konsisten. Berbanding perbankan pelaburan, yang menumpukan kepada modal pasaran seperti bon dan hartanah yang terlalu terhad.

Justeru, apakah manfaat liberalisasi ekonomi kepada rakyat secara keseluruhan? Mungkin peringkat mikro ekonomi, dasar ini tidak dekat dengan jiwa masyarakat Malaysia, terutama bila mahu dikaitkan dengan penyelesaian masalah ekonomi seharian.

Namun, di peringkat makro ekonomi dan jangka panjang, liberalisasi ekonomi ada peluang untuk dijayakan. Terutamanya menjadikan Malaysia sebagai hab perbankan Islam sedunia.

London berjaya dari segi menarik pelabur sebagai hab kewangan konvensional antarabangsa. Malaysia semestinya merancang dan menyusun strategi ke arah itu.

Liberalisasi ekonomi harus menguntungkan rakyat Malaysia. Ia boleh dicapai dengan meningkatkan kesedaran menyokong produk dan servis perbankan Islam di kalangan massa, menggalakkan pelaburan yang mematuhi syariah, menggalakkan pembelian emas dinar sebagai pelaburan masa depan.

Saham Naik..

Harga saham di Bursa Malaysia dijangka terus meningkat minggu depan berikutan minat belian susulan berdasarkan kepada peningkatan keyakinan pemulihan dalam ekonomi global, kata seorang penganalisis.

Pasaran melepasi paras 1,000 awal minggu ini berikutan sokongan kekuatan ekonomi global yang bertambah baik.

Ketua Penyelidikan Jupiter Securities Sdn. Bhd., Pong Teng Siew berkata, terdapat sedikit ruang bagi keyakinan dalam pasaran tempatan berikutan penambahbaikan fundamental ekonomi tempatan seperti aliran meningkat harga komoditi dan pemulihan eksport pembuatan.

"Terdapat harapan jika ekonomi di AS pulih, eksport pembuatan juga akan bertambah baik.

"Kami belum begitu pasti lagi tetapi buat masa ini pasaran mendapat sedikit keyakinan tentang eksport, membawa kepada pemulihan harga saham," katanya.

Paras sokongan dan ketahanan bagi Indeks Komposit Kuala Lumpur dijangka antara 1,018 dan 1,060 minggu depan, katanya.

Beliau berkata, pengumuman data senarai gaji bukan ladang di AS dan angka perdagangan Malaysia akan membantu mentakrif pergerakan pasaran saham minggu depan.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran mungkin terdapat sedikit risiko dengan pengambilan untung mendadak dijangka berlaku.

"Ketika pelabur boleh mengharapkan peningkatan yang perlahan-lahan dalam tempoh 2-3 minggu akan datang, antara tempoh tersebut akan terdapat pengambilan untung sekali sekala," katanya.

Bagi asas mingguan, IKKL ditutup dalam minggu yang baru berakhir ini kepada 1,026.78, naik 36.04 mata daripada penutupan 990.74 pada minggu sebelumnya.

Indeks Perusahaan naik 2.66 mata kepada 2,258.76, Indeks Kewangan meningkat 592.56 mata kepada 8,131.59 dan Indeks Perladangan menokok 56.79 mata kepada 5,038.63.

FBMEmas naik 305.78 mata kepada 6,847.64, FBM30 menambah 220.42 mata kepada 6,552.5, FBM2BRD meningkat 244.9 mata kepada 4,550.63 manakala FBM-MDQ menokok 719.07 mata kepada 4,207.14.

Keseluruhannya, jumlah dagangan minggu ini meningkat kepada 12.764 bilion saham bernilai RM9.869 bilion daripada 6.361 bilion saham bernilai RM5.442 bilion minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Papan Utama naik kepada 10.235 bilion saham bernilai RM9.396 bilion daripada 5.426 bilion saham bernilai RM5.146 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan di Papan kedua meningkat kepada 804.110 juta saham bernilai RM228.667 juta daripada 550.146 juta saham bernilai RM237.525 juta Khamis minggu sebelumnya.

Pasaran ditutup pada Jumaat minggu tersebut sempena cuti Hari Buruh.

Jumlah dagangan di Pasaran Mesdaq meningkat kepada 1.482 bilion saham bernilai RM203.264 juta daripada 253.188 juta saham bernilai RM17.591 juta minggu sebelumnya.

Waran menambah kepada 207.708 juta saham bernilai RM32.976 juta daripada 112.670 juta saham bernilai RM14.928 juta sebelumnya. - Bernama

Saturday, February 28, 2009

“Allah adalah Sumber Segala-galanya!”-copy


Oleh itu, apabila seorang mukmin menerima kebaikan dan nikmat kesenangan, maka dia akan memanjatkan kesyukuran tidak terhingga kepada Allah di atas kurniaan nikmat itu. Pengertian syukur di sini tidak hanya terbatas kepada ucapan syukur Alhamdulillah ratusan kali, malah ia mesti dijelmakan dalam bentuk praktikal amali supaya kebaikan dan nikmat kesenangan yang diperoleh itu bukan saja bermanfaat untuk dirinya bahkan kepada orang lain, seumpama berzakat, bersedekah, menderma serta mewakafkan harta.

Dalam ketika lain, apabila seorang mukmin itu ditimpa musibah atau kesusahan kepada dirinya, keluarganya, hartanya dan hidupnya, dia akan bersabar dan tidak pula rasa keluh kesah. Mereka meyakini Allah menyediakan ganjaran berlipat ganda atas kesabaran.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang bersabar. (Iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jugalah kami kembali. Mereka itu ialah orang yang dilimpahi pelbagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 155 - 157)

Selama seseorang manusia itu menjalani hidup ini bersesuaian dengan sunnatullah berbekalkan iman dan takwa di sudut jiwa serta tidak bercanggah dengan batas agama dan nilai hidup yang murni, ini bermakna musibah dan kesulitan itu sebenarnya ujian Allah. Sedangkan Allah sendiri menimpakan ujian lebih berat kepada orang yang lebih kuat imannya kepada-Nya. Dari sinilah wujudnya buah kesabaran dan ketabahan yang akan bertapak kukuh dalam sanubari hamba yang bertakwa.

Sehubungan itu, Allah berfirman yang bermaksud:

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga pada hal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang berlaku kepada orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh) sehingga berkatalah Rasul dan orang yang beriman yang ada bersertanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).” (Surah al-Baqarah, ayat 214)

Sebaliknya, jika musibah dan bencana yang timbul itu akibat daripada ingkar terhadap peraturan Allah dengan melakukan larangan-Nya, maka tidak ada jalan keluar daripada musibah melainkan dengan bertaubat nasuha kepada Allah.

Demikianlah bagaimana Islam menganjurkan umatnya menghiasi dirinya dengan sifat sabar dan bersikap positif dengan harapan matlamat kebahagiaan sejati dan keredaan Ilahi di dunia dan akhirat akan tercapai.


Wallahu a’la wa a’lam.

jangan mengalah!




Oleh: Dr. Engku Ahmad Zaki Engku Alwi


PERSAINGAN hidup penuh mencabar yang mewarnai pentas alam maya ini menuntut manusia bersabar dan bersemangat waja dalam melayarkan bahtera kehidupannya menuju matlamat disasarkan.


Salah satu daripada sifat yang sewajarnya menjadi perhiasan diri seseorang manusia untuk mencipta kejayaan dalam hidupnya ialah berfikiran positif. Secara harfiah, berfikir positif dapat didefinisikan sebagai satu pandangan atau sikap seseorang yang sentiasa memandang baik terhadap segala keadaan menimpa dirinya.


Dalam istilah bahasa Arab, perkataan berfikiran positif lebih dikenali sebagai Husnu al ZhanSu’u al Zhan yang bermaksud berprasangka buruk. yang bermaksud berprasangka baik iaitu lawan kepada perkataan


Antara kedua-dua sifat berlawanan itu, Islam menganjurkan umatnya supaya bersifat berprasangka baik dalam hidupnya berbanding dengan berprasangka buruk yang tercela.


Perlu diinsafi bahawa sikap prasangka memainkan peranan penting dalam mencorak dan menentukan hala tuju hidup seseorang manusia. Menurut Razzi Armansur dalam bukunya “Hidup Untuk Menang” menegaskan, apa yang disangka itulah yang selalunya terjadi.


Selain prasangka buruk dihantar ke otak untuk diproses bagi menghasilkan penjara sendiri, prasangka juga adalah doa dalam senyap. Apabila anda berprasangka buruk, bermakna anda sedang berdoa di dalam hati, mendoakan sesuatu yang buruk supaya terjadi.


Ini memang tidak disedari, tetapi itulah yang selalunya terjadi. Semua orang tidak mahu dan sentiasa mengelakkan yang buruk tetapi itulah selalu yang diminta dan didoakan. Kerana itu Islam menyuruh dan menggalakkan supaya umatnya berprasangka baik. Berprasangka baik bermakna hati sedang berdoa supaya mendapat kebaikan dan kejayaan.


Prasangka buruk merugikan. Tidak ada kejayaan dan kemenangan dalam kehidupan, perniagaan, pelajaran dan apa saja jika berprasangka buruk. Kenyataan itu disokong Imran Jafar dalam bukunya “Kunci Kejayaan Napoleon Hill” dengan menegaskan, sikap mental positif ialah sikap mental yang betul dalam sebarang keadaan dihadapi dan biasanya terdiri daripada ciri positif seperti kepercayaan, integriti, harapan, sikap optimis, keberanian, inisiatif, murah hati, toleransi, kebijaksanaan, baik hati dan akal budi yang baik.


Ditambah lagi, sikap mental positif adalah salah satu daripada 17 prinsip kejayaan yang diperkenalkan Napoleon Hill sebagai inti pati tindakan dan sikap setiap orang yang pernah mencapai kejayaan berkekalan.


Oleh sebab itulah, Rasulullah SAW menyanjungi seorang mukmin yang berfikir positif dalam hidupnya, bahkan sifat itu adalah antara ciri mukmin sejati. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:


“Amat menakjubkan sikap seorang mukmin yang sentiasa memandang baik terhadap segala sesuatu di sekelilingnya. Sikap ini sebenarnya tidak pernah wujud pada umat lain kecuali kepada golongan mukmin. Apabila seseorang mukmin itu memperoleh kebaikan, dia terus bersyukur kepada Allah dan itu adalah baik baginya. Jika dia ditimpa keburukan, maka dia pun bersabar menghadapinya dan ini pun baik baginya.” (Hadis riwayat Muslim)


Seseorang mukmin sejati sudah pasti menginsafi bahawa hal baik mahu pun buruk dalam kehidupan ini akan datang silih berganti menimpa dirinya. Pada satu ketika, dia mengecapi nikmat kesenangan yang dikurniakan Allah dan mungkin pada satu ketika lain. dia akan ditimpa kesusahan dan kesedihan yang menguji kesabarannya.


Begitu juga pada waktu ini dia diulit kesihatan memuaskan yang memungkinkan dia melakukan sesuatu kerja dengan lancar sekali dan pada waktu lain, dia ditakdirkan jatuh sakit hingga kerja rutin hariannya akan terbantut buat seketika.


Ada juga yang mudah memperoleh limpahan rezeki datang mencurah-curah yang dianugerahkan Allah. Sedangkan pada ketika lain, dia akan rasa kesukaran mendapatkan rezeki biarpun sesuap nasi walaupun tenaga dikerahkan dan keringat dicurahkan. Namun semuanya itu sudah menjadi ketetapan dan ketentuan Ilahi yang mengatur dan menyusun perjalanan alam maya terbentang luas.


Perjalanan hidup dilalui setiap makhluk tidak tetap dan sentiasa berubah dari satu masa ke satu masa yang lain, dari satu keadaan kepada keadaan lain menurut sunnatullah yang termaktub di Loh Mahfuz.


Keadaan itu bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud:

“Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa kemenangan atau kekalahan), Kami gilirkannya antara sesama manusia (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah mengenai orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya).” (Surah Ali-Imran, ayat 140)


Bagi seorang mukmin yang mengaku beriman kepada Allah, tetap akan menerima apa yang berlaku dalam hidupnya dengan penuh reda dan insaf, tidak kira peristiwa itu manis atau pahit, suka mahu pun duka.

Erti sebuah perkahwinan-saifulislam


Catatan penulis Saifulislam...bukan alFutuwwah...

Bulan ini, sudah lima tahun saya berumahtangga, bergelar suami kepada seorang isteri. Sungguh pantas masa berlalu. Sudah separuh dekad, saya dan isteri menempuh kehidupan yang penuh dengan pelbagai teladan dan sempadan.

Perkahwinan kami tidak susah. Ketika saya mengambil keputusan untuk memperisterikan beliau, saya hanya berpandukan kepada fatwa hati. Dengan sedikit maklumat tentangnya, dan gambar yang langsung tidak membolehkan saya mengecam rupanya, saya berpegang dengan pesan Nabi SAW bahawa hati itu tenteram kepada kebaikan dan gelisah terhadap kejahatan. ‘Orang tengah’ yang juga merupakan sahabat saya memahami keputusan tersebut.

Hati saya tenang.

Sebelum membuat keputusan muktamad, saya ke masjid untuk solat Isyak dan Tarawih. Malam Ramadhan yang cerah, saya menadah tangan memohon daripada Allah agar memberkati pilihan saya ini.

Cuaca dingin Disember 1998 di Kota Dublin mengiringi saya pulang dari Masjid di South Circular Road. Saya merenung langit. Kerlipan bintang bukanlah suatu pemandangan biasa di Ireland. Lazimnya siang dan malam kami diselubungi awan tebal. Namun saya semacam lega. Membuat keputusan yang baik pada malam yang baik.

Hati saya terus tenang.

Saya bersetuju menerima lamaran orang tengah tersebut dan Subhanallah, bakal isteri saya juga menyatakan persetujuannya menerima sebelum melihat diri saya. Persetujuan disampaikan melalui telefon kepada orang tengah dan saya menyambutnya dengan syukur.

Mungkin terlalu sukar untuk dibayangkan bagaimanakah begitu mudah kami berdua bersetuju untuk saling menerima, sebelum berkenalan, keluar makan-makan, berbalas-balas surat, seperti yang selalu diamalkan hari ini?

Ya, bukan sahaja orang lain, malah ahli keluarga saya sendiri kehairanan.

Kali pertama saya bersua muka dengan bakal isteri saya ialah di hadapan ibu serta bapanya.

Tarikh bertunang sudah dipersetujui, cuma mak nak tanya sesuatu. Kamu pernahkah melihat yang empunya diri?, bakal ibu mertua saya bertanya. Beliau sudah pun membahasakan dirinya sebagai emak

Belum, mak., saya menjawab sambil tersenyum.

Saya dapat melihat wajah abang saya yang begitu terkejut. Macam mana adiknya boleh bersetuju untuk berkahwin dengan seorang yang belum pernah ditemui? Ia terlalu ganjil untuk zaman ini. Di hadapan kedua ibu bapa, kami bertemu buat pertama kali.

Rakan-rakan yang mendapat tahu tentang pertunangan saya dengan seorang bakal doktor amat terkejut.

Anta gilakah, Hasrizal? Kahwin dengan doktor! Anta tak takut kena tinggal?, tanya seorang rakan saya.

Nabi SAW lagi sibuk dari saya. Isteri baginda lebih sibuk dari seorang doktor. Tapi rumah tangga mereka adalah yang paling bahagia. Tentu ada formulanya!, saya menjawab dengan selamba.

Mudah sahaja jawapan saya itu. Namun saya memang sentiasa memikirkan tentangnya. Sampai begitu sekali persepsi kawan saya. Gilakah saya ini, kerana mahu memperisterikan seorang doktor?

Cabarannya memang besar.

Cabaran pertama adalah soal harga diri. Melalui didikan Islam yang kami terima dalam kuliah, tamrin, usrah dan bacaan buku, perkahwinan antara seorang ustaz dengan seorang doktor tidak pernah dianggap tidak sekufu. Apa yang penting, kedua-duanya saling berpegang kepada nilai-nilai Islam. Kami menilai kehidupan dengan penilaian yang sama dan di situlah keserasian serta persamaan itu wujud.

Namun kehidupan ini tidak seideal itu. Kami perlu berhadapan dengan persepsi masyarakat. Seandainya kami mudah tergugat oleh “apa yang difikirkan oleh orang lain, maka tentunya kami akan keletihan menangkis sinis dan sindiran yang ada. Apalah yang ada pada seorang ustaz, jika ukurannya adalah pada sebuah kebendaan? Apakah yang mampu ditawarkan oleh seorang ustaz kerana ilmu agama tidak pernah menjanjikan kekayaan bagi pejuangnya. Kami saling menerima, atas realiti itu.

Cabaran kedua adalah soal komitmen kerja. Memang tidak dapat dinafikan bahawa kehidupan berumahtangga adalah sesuatu yang amat mencabar bagi seorang doktor. Khususnya di peringkat housemanship (juga disebut internship). Seorang suami kepada seorang doktor akan lebih banyak ditinggalkan kerana jadual oncall yang tidak berperi kemanusiaan. Bayangkan, seorang doktor yang baru memulakan kerjayanya di sebuah hospital, masuk kerja pada jam 8 pagi hari Isnin. Beliau habis bekerja pada jam 5 petang hari Selasa, malah kadang-kadang terlajak hingga ke jam 8 malam. Keesokan harinya, Rabu, beliau akan ke hospital semula pada jam 8 pagi dan tamat kerja pada jam 5 petang hari Khamis.

Rutin begitu, menyebabkan seorang kawan saya mencadangkan supaya isterinya tidak balik ke rumah. Tidurlah di hospital. Biar dia sahaja yang datang melawat isteri di hospital. Itu lebih baik dan melegakan bagi si isteri.

Sanggupkah saya untuk berhadapan dengan semua itu?

Saya bersyukur. Ketika saya membuat keputusan untuk berumah tangga dengan seorang doktor, apa yang saya fikirkan ialah peluang saya untuk berbuat kebaikan. Saya gembira membayangkan betapa saya dapat mendidik isteri dengan pengetahuan agama Islam. Saya gembira dapat memasak yang sedap-sedap untuk isteri (sudah jemu untuk menjamu kawan-kawan bujang yang tidak pernah kenyang). Saya gembira membayangkan suatu hari nanti jika ada rezeki, saya dapat mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak. Malah paling menggembirakan, perjuangan saya di medan Amal Islami dapat dikongsi bersama seorang isteri. Ia menyempurnakan sudut kehidupan saya.

TUJUAN BERUMAHTANGGA

Tanpa saya sedar, saya mendapat kekuatan untuk menerima kehadiran seorang isteri yang bakal sibuk, maha sibuk. Kekuatan itu datang dari satu prinsip hidup saya yang penting, ERTI HIDUP PADA MEMBERI.

Ya, saya mahu berumah tangga bukan untuk menerima. Saya berumah tangga kerana mahu memberi. Memberi kasih sayang, memberi perhatian, memberi nafkah, memberi kebaikan. Semuanya itu adalah peranan saya di dalam sebuah rumah tangga. Dan seandainya saya menerima apa-apa kebaikan dari isteri, semuanya mengundang rasa syukur, walau sekecil mana sekali pun kebaikan itu.

Saya masih ingat pesanan seorang senior saya di Belfast.

Dalam soal berumah tangga, janganlah terlalu memilih dan hanya mencari yang paling sempurna. Jika kita mahu yang paling sempurna, maka nanti apabila kita membuat keputusan untuk menerima seseorang, kita menganggapnya sebagai seorang yang sempurna. Jika rumah tangga dibina atas fikiran seperti itu, kita tidak expect sebarang kekurangan. Maka selepas berumah tangga, hanya kekurangan isteri sahajalah yang sering terlihat di mata, kerana kita menjangkakan kesempurnaan. Terimalah seseorang, seadanya. Kebaikannya disyukuri, kekurangannya diredhai, kata Kak Naz dan Abang Rozli semasa saya menyuarakan rancangan saya untuk berumah tangga.

Nasihat itu saya pegang hingga hari ini.

DIIJABKABULKAN

Setelah dua tahun kami bertunang, saya diijabkabulkan pada 14 September 2001 oleh ayah mertua saya sendiri. Dengan hanya sekali lafaz, sahlah hubungan kami sebagai suami dan isteri, seperti yang kami doakan.

Kami tidak berpeluang untuk lama berada di Malaysia. Kepulangan ke tanah air untuk melangsungkan perkahwinan hanya ada 8 hari. 4 hari selepas kenduri, saya dan isteri meninggalkan Malaysia untuk menyambung kembara kami di bumi Ireland.

20 September 2001, saya dan isteri melambaikan salam perpisahan kepada dua keluarga yang berkumpul di KLIA buat pertama kalinya. Perjalanan kami ke Ireland, diselubungi sedikit rasa bimbang kerana kami menaiki pesawat ke New York via Shannon (Ireland), 9 hari selepas WTC runtuh. Kawalan keselamatan yang amat ketat semasa transit di Amman, Jordan sungguh merimaskan. Kami tiba di Shannon pada pagi 22 September 2001 dan syukur semuanya berjalan lancar.

Rumah pertama kami adalah sebuat bedseat kecil di Inchagill Road, Newcastle, Galway. Ketika itu saya masih menunggu proses untuk menyelesaikan tawaran kerja saya sebagai Imam di Belfast Islamic Centre, Ireland Utara.

Kehidupan berumahtangga kami pada 3 bulan pertama, sudah menampakkan cabarannya. Isteri saya amat terbeban dengan tugasnya sebagai JHO di NUIG Hospital. Namun saya bersyukur kerana mempunyai serba sedikit keupayaan untuk menguruskan rumah tangga. Sayalah yang memasak, menghantar makan kepada isteri seandainya beliau oncall dan seterusnya menguruskan hal ehwal rumah. Mind-setting berumah tangga untuk memberi, amat kuat dalam membekalkan rasa gembira di sepanjang pengalaman itu.

Dua bulan selepas berumah tangga, saya dipanggil bertugas secara rasmi di Belfast Islamic Centre. Walaupun kedua-dua bandar itu terletak di pulau yang sama, jarak yang memisahkan tidak memungkinkan kami untuk sering bertemu. Saya terpaksa meninggalkan isteri sendirian di Galway untuk memulakan tugas di Belfast, 8 jam perjalanan dengan menaiki keretapi, melalui Dublin.

TERPISAH

Kami berpisah. Ia tidak mudah. Namun kerana adanya Allah, kami saling merestui pengorbanan ini. Seperti yang Ustaz Pahrol Mohamad Juoi tuliskan di dalam lirik nasyidnya, Bertemu tidak jemu, berpisah tak gelisah.

Selepas 6 bulan isteri saya berkhidmat di NUIG Hospital, beliau berpindah ke hospital lain di Letterkenny yang terletak hampir 5 jam perjalanan ke utara Galway. Kali ini isteri saya sudah tidak terlalu jauh. Letterkenny hanya 3 jam perjalanan dengan menaiki bas ke Belfast.

Tetapi, saya pula menghadapi kesulitan untuk melawatnya di Letterkenny. Saya bertugas sebagai Imam dan dalam masa yang sama menjadi Pengetua di Belfast Islamic School. Sekolah itu beroperasi paling utamanya di hujung minggu. Maka pada hari Sabtu dan Ahadlah saya menjadi paling sibuk. Oleh itu, isteri sayalah sekali lagi banyak berkorban. Setiap Jumaat selepas habis bekerja, beliau akan menaiki bas menuju ke Belfast.

Saya pula banyak menghabiskan masa di masjid dan sekolah di sepanjang Sabtu dan Ahad. Jika mendapat kelulusan Direktor Masjid, maka barulah saya berpeluang untuk menemani isteri pulang ke Letterkenny pada hari Ahad dan pulang semula ke Belfast pada pagi Isnin. Demikianlah kehidupan kami di sepanjang 6 bulan kedua perkahwinan.

Isteri saya telah mengandungkan anak pertama kami ketika bertugas di Galway lagi. Maka di sepanjang perkhidmatannya di Letterkenny, beliau menempuh kehidupan yang amat sukar dengan keadaan kami yang berjauhan. Beberapa kali isteri saya pengsan semasa bertugas, dan mujurlah Consultant beliau begitu memahami keadaan ini. Saya dihubungi dan dinasihatkan supaya memberi perangsang dan semangat kepada isteri.

Sedikit kecewa, seorang Konsultan berbangsa Irish boleh begitu profesional dalam mengendalikan pekerja bawahannya, sedangkan beberapa orang doktor Muslim lain yang bertugas bersama isteri saya menuduh isteri saya gila kerana mengandung semasa bekerja sebagai JHO!

MENYAMBUT CAHAYA MATA PERTAMA

Syukur Alhamdulillah, rumah tangga yang dibina tambah berseri ketika menerima ketibaan cahaya mata pertama kami, pada subuh 6 Julai 2002 di Royal Maternity Hospital of Belfast. Selepas azan dilaungkan, saya namakan anak kecil yang comel ini sebagai Muhammad Saiful Islam bin Hasrizal.

Isteri saya bercuti selama hampir 6 bulan. Apabila beliau kembali bertugas sebagai SHO Haematology di NUIG Hospital di Galway, saya terpaksa meninggalkan Belfast. Tidak dapat dibayangkan kami hidup berpisah selepas mempunyai seorang anak.

Selepas mengikut isteri berpindah ke Selatan, kehidupan kami semakin bahagia. Saya berasa agak tenang kerana selama bertugas di Belfast, saya sentiasa berada di dalam keadaan tertekan. Sama ada disebabkan oleh bebanan kerja, mahu pun oleh gangguan polisi-polisi kerajaan Britain yang amat menyusahkan kehidupan saya sebagai seorang Imam.

Republic of Ireland lebih tenang. Saya bertugas secara sambilan membantu Imam Khalid di Galway, khususnya untuk mengimamkan Solat Jumaat.

Selepas 6 bulan, kami berpindah ke Tallaght di selatan Dublin dan 6 bulan kemudian kami berpindah sekali lagi ke Naas, di County Kildare.

PULANG KE MALAYSIA

Pengajian Master saya di The Open University, UK terpaksa ditinggalkan apabila isteri saya dipanggil pulang untuk berkhidmat di Malaysia. Perjalanan kami di Ireland berakhir pada 29 Julai 2004.

Tidak lama selepas itu, rumah tangga kami diserikan pula oleh ketibaan cahaya mata kami yang kedua, puteri kami yang diberi nama Naurah Sabihah binti Hasrizal. Terasa bagai lengkap keluarga saya apabila menerima sepasang cahaya mata, seorang lelaki dan seorang perempuan. Puji buat-Mu ya Allah.

Kehidupan berumah tangga di Malaysia jauh lebih mencabar. Kami berdepan dengan kehidupan yang sibuk dan amat menekan. Kami sesekali membayangkan, kehidupan yang seperti orang lain. Habis kerja pulang ke rumah. Hujung minggu bersiar-siar di taman, membeli barang keperluan di pasar, dan melawat sanak saudara yang jauh dan dekat.

Namun, selepas bertahun kami mendirikan rumah tangga, kami tidak pernah lupa bahawa pertemuan yang menyatukan kami, adalah pada sebuah perjuangan. Sebagaimana kehidupan kami sebelum berumah tangga penuh dengan aktiviti-aktiviti Islam, membantu menyebarluaskan agama Allah, maka kehidupan seperti itu jugalah yang menghiasi perjalanan bahtera rumah tangga kami ini.

Kesibukan kami tidak pernah berkurang, malah jadual saya semakin ketat.

ERTI KEBAHAGIAAN

Beberapa hari yang lalu, saya menerima sms dari seorang pelajar yang pernah mengikuti kursus yang saya kendalikan.

Katanya, Ustaz, apa yang saya sedar selama ini, ramai orang merasa bahagia dan gembira apabila dapat meluangkan banyak masa bersama keluarga. Namun, pada hemat saya, ustaz mempunyai masa yang amat terhad bersama keluarga. Jadi, apa erti kebahagiaan dalam hidup ustaz? Harap, soalan ini mudah untuk dijawab. Bukan soalan, tetapi minta ustaz kongsi dengan saya jika tidak keberatan.

Saya termenung. Kebetulan semasa itu saya sedang out station di Labuan. Berikut adalah jawapan saya kepadanya,

Kebahagian rumah tangga bukanlah pada kuantiti masa yang diluangkan bersama isteri dan anak-anak. Penentunya adalah kualiti. Berapa ramai yang meluangkan banyak masa bersama keluarga, tetapi hakikatnya mereka tidak bersama. Mereka sebumbung tetapi masing-masing mengadap TV, tidak berkomunikasi. Ustaz sentiasa cuba pastikan setiap masa yang ada untuk bersama isteri dan anak-anak, digunakan sebaik mungkin untuk benar-benar bersama. Lihatlah Ismail alayhi al-Salaam. Sering ditinggalkan bapanya. Tetapi Ismail tidak pernah memusuhi Ibrahim. Mereka bertemu kerana Allah, mereka berpisah kerana-Nya jua.

PENGHARGAAN BUAT SEORANG ISTERI

Terima kasih kepada isteri saya kerana bersabar dengan segala ujian yang menimpa kehidupan selama ini. Terima kasih kerana bersama saya menyedari bahawa kita tidak mungkin hidup tanpa ujian kerana ujian-ujian itulah sebenarnya kehidupan kita.

Terima kasih juga kepada isteri saya kerana tidak menambat kaki ini untuk terikat di rumah. Seorang isteri yang menghalang suaminya keluar berjuang, akan sentiasa memiliki suami yang sentiasa mahu keluar. Seorang isteri yang menggalakkan suaminya keluar berjuang, akan sentiasa menerima kepulangan suami yang sentiasa berusaha untuk pulang. Perginya suami atas dorongan isteri, adalah pemergian yang dibayangi kepulangan.

Terima kasih kepada isteri yang mentaati Allah. Kerana ketaatan kita kepada Allah, kita tidak gelisah untuk berpisah. Saya sentiasa percaya bahawa isteri saya mentaati Allah dan dijaga oleh Allah sepanjang pemergian saya. Isteri saya juga percaya bahawa saya mentaati Allah dan dijaga-Nya sepanjang masa saya meninggalkan rumah.

Kepada adik-adik remaja, khususnya mereka yang di bangku menara gading, jauhilah maksiat bercouple atau apa sahaja perlakuan mungkar kerana semuanya itu saling membuktikan kepada Allah bahawa kalian berdua amat berani mendurhakai Allah. Rumah tangga dibina bukan hanya atas cinta, tetapi juga pada saling mempercayai. Jika Allah sudah diingkari, siapa lagikah yang boleh dijadikan tempat meletakkan kepercayaan? Dosa semalam akan pasti menjadi kecurigaan hari ini, esok dan selamanya…

Semoga cinta dan kasih kepada isteriku terus mekar pada sebuah rumah tangga yang dibina atas rasa kehambaan. Hamba yang sering memikirkan peranan, dan gemar memberi kebaikan. Apabila peranan saling ditunaikan, berhasillah segala hak yang ditentukan. Moga Allah terus mengurniakan kepadaku, isteri dan anak-anak, kesejahteraan dan kebahagiaan hidup, dengan siraman barakah dari Allah, Tuhan yang kerana-Nya, kami bertemu. Ameen…

Kegawatan melanda lagi-bagaimana mahasiswa?

Malaysia sekali lagi diserang kegawatan ekonomi hasil picisan daripada kegawatan ekonomi global yang semakin meruncing.Akan tetapi,kali ini kesannya agak lewat sedikit.Namun,sehingga kini,syarikat-syarikat swasta sudah mula memberhentikan pekerjanya terutama di bidang elektronik.Ini amat membahayakan bagi mahasiswa.Ini baru gelombang pertama.Masa yang sesuai bagi pelabur untuk membeli bon dan juga saham kerana harganya masih rendah lagi.Kita harus melihat kesan dari perkara ini.Apa yang akan berlaku adalah makin ramai orang kaya yang akan terus kaya dan makin ramai orang sederhana yang akan hilang pekerjaan dan terus menjadi lebih miskin.Maka,jurangpendapatan akan makin bertambah dan membuatkan Malaysia kearah negera yang diancam masalah jeanayah yang ketara.bagaimana keadaan ini boleh berlaku?Hal ini kerana,apabila ramai yang hlang pekerjaan,akan ramai yang akan melakukan apa-apa sahaja untuk mendapatkan sesuap nasi.Maka,pada masa itu,masyarakat akan hilang pertimbangan dan melakukan apa sahaja walaupun tidak dibenarkan oleh syarak.Maka,persediaan sebagai mahasiswa yang akan menempuh zaman kegawatan ini dengan lebih bijak dan berkesan dan menjadi lebih proaktif pada masa yang akan datang.Di antara persediaan mahasiswa yang perlu dilakkukan ialah,menimba pelbagai ilmu sebanyak yangboleh samada ilmu duniawi mahupun ukhrawi,mencuba berjinak-jinak dengan perniagaan dan mengetahui pasaran semasa untuk mengumpulkan aset yang ada,bijak berbelanja untuk simpanan masa akan datang,mencari seberapa banyak peluang untuk berniaga untuk jangka masa yang panjang dan yang terakhir ialah,bersedia untuk menjadi lebih anergetik dan workaholic untuk menmperoleh pendapatan yang lumayan.