Monday, June 1, 2009

Saham Naik..

Harga saham di Bursa Malaysia dijangka terus meningkat minggu depan berikutan minat belian susulan berdasarkan kepada peningkatan keyakinan pemulihan dalam ekonomi global, kata seorang penganalisis.

Pasaran melepasi paras 1,000 awal minggu ini berikutan sokongan kekuatan ekonomi global yang bertambah baik.

Ketua Penyelidikan Jupiter Securities Sdn. Bhd., Pong Teng Siew berkata, terdapat sedikit ruang bagi keyakinan dalam pasaran tempatan berikutan penambahbaikan fundamental ekonomi tempatan seperti aliran meningkat harga komoditi dan pemulihan eksport pembuatan.

"Terdapat harapan jika ekonomi di AS pulih, eksport pembuatan juga akan bertambah baik.

"Kami belum begitu pasti lagi tetapi buat masa ini pasaran mendapat sedikit keyakinan tentang eksport, membawa kepada pemulihan harga saham," katanya.

Paras sokongan dan ketahanan bagi Indeks Komposit Kuala Lumpur dijangka antara 1,018 dan 1,060 minggu depan, katanya.

Beliau berkata, pengumuman data senarai gaji bukan ladang di AS dan angka perdagangan Malaysia akan membantu mentakrif pergerakan pasaran saham minggu depan.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran mungkin terdapat sedikit risiko dengan pengambilan untung mendadak dijangka berlaku.

"Ketika pelabur boleh mengharapkan peningkatan yang perlahan-lahan dalam tempoh 2-3 minggu akan datang, antara tempoh tersebut akan terdapat pengambilan untung sekali sekala," katanya.

Bagi asas mingguan, IKKL ditutup dalam minggu yang baru berakhir ini kepada 1,026.78, naik 36.04 mata daripada penutupan 990.74 pada minggu sebelumnya.

Indeks Perusahaan naik 2.66 mata kepada 2,258.76, Indeks Kewangan meningkat 592.56 mata kepada 8,131.59 dan Indeks Perladangan menokok 56.79 mata kepada 5,038.63.

FBMEmas naik 305.78 mata kepada 6,847.64, FBM30 menambah 220.42 mata kepada 6,552.5, FBM2BRD meningkat 244.9 mata kepada 4,550.63 manakala FBM-MDQ menokok 719.07 mata kepada 4,207.14.

Keseluruhannya, jumlah dagangan minggu ini meningkat kepada 12.764 bilion saham bernilai RM9.869 bilion daripada 6.361 bilion saham bernilai RM5.442 bilion minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Papan Utama naik kepada 10.235 bilion saham bernilai RM9.396 bilion daripada 5.426 bilion saham bernilai RM5.146 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan di Papan kedua meningkat kepada 804.110 juta saham bernilai RM228.667 juta daripada 550.146 juta saham bernilai RM237.525 juta Khamis minggu sebelumnya.

Pasaran ditutup pada Jumaat minggu tersebut sempena cuti Hari Buruh.

Jumlah dagangan di Pasaran Mesdaq meningkat kepada 1.482 bilion saham bernilai RM203.264 juta daripada 253.188 juta saham bernilai RM17.591 juta minggu sebelumnya.

Waran menambah kepada 207.708 juta saham bernilai RM32.976 juta daripada 112.670 juta saham bernilai RM14.928 juta sebelumnya. - Bernama

No comments: