Oleh itu, apabila seorang mukmin menerima kebaikan dan nikmat kesenangan, maka dia akan memanjatkan kesyukuran tidak terhingga kepada Allah di atas kurniaan nikmat itu. Pengertian syukur di sini tidak hanya terbatas kepada ucapan syukur Alhamdulillah ratusan kali, malah ia mesti dijelmakan dalam bentuk praktikal amali supaya kebaikan dan nikmat kesenangan yang diperoleh itu bukan saja bermanfaat untuk dirinya bahkan kepada orang lain, seumpama berzakat, bersedekah, menderma serta mewakafkan harta.
Dalam ketika lain, apabila seorang mukmin itu ditimpa musibah atau kesusahan kepada dirinya, keluarganya, hartanya dan hidupnya, dia akan bersabar dan tidak pula rasa keluh kesah. Mereka meyakini Allah menyediakan ganjaran berlipat ganda atas kesabaran.
Allah berfirman yang bermaksud:
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang bersabar. (Iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jugalah kami kembali. Mereka itu ialah orang yang dilimpahi pelbagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 155 - 157)
Selama seseorang manusia itu menjalani hidup ini bersesuaian dengan sunnatullah berbekalkan iman dan takwa di sudut jiwa serta tidak bercanggah dengan batas agama dan nilai hidup yang murni, ini bermakna musibah dan kesulitan itu sebenarnya ujian Allah. Sedangkan Allah sendiri menimpakan ujian lebih berat kepada orang yang lebih kuat imannya kepada-Nya. Dari sinilah wujudnya buah kesabaran dan ketabahan yang akan bertapak kukuh dalam sanubari hamba yang bertakwa.
Sehubungan itu, Allah berfirman yang bermaksud:
“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga pada hal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang berlaku kepada orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh) sehingga berkatalah Rasul dan orang yang beriman yang ada bersertanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).” (Surah al-Baqarah, ayat 214)
Sebaliknya, jika musibah dan bencana yang timbul itu akibat daripada ingkar terhadap peraturan Allah dengan melakukan larangan-Nya, maka tidak ada jalan keluar daripada musibah melainkan dengan bertaubat nasuha kepada Allah.
Demikianlah bagaimana Islam menganjurkan umatnya menghiasi dirinya dengan sifat sabar dan bersikap positif dengan harapan matlamat kebahagiaan sejati dan keredaan Ilahi di dunia dan akhirat akan tercapai.
Wallahu a’la wa a’lam.
1 comment:
al-futuwwah,fuh,nama arab.
salam ziarah,zulikram.
kawan lama,
irbid,jordan.
Post a Comment