Saturday, February 28, 2009

jangan mengalah!




Oleh: Dr. Engku Ahmad Zaki Engku Alwi


PERSAINGAN hidup penuh mencabar yang mewarnai pentas alam maya ini menuntut manusia bersabar dan bersemangat waja dalam melayarkan bahtera kehidupannya menuju matlamat disasarkan.


Salah satu daripada sifat yang sewajarnya menjadi perhiasan diri seseorang manusia untuk mencipta kejayaan dalam hidupnya ialah berfikiran positif. Secara harfiah, berfikir positif dapat didefinisikan sebagai satu pandangan atau sikap seseorang yang sentiasa memandang baik terhadap segala keadaan menimpa dirinya.


Dalam istilah bahasa Arab, perkataan berfikiran positif lebih dikenali sebagai Husnu al ZhanSu’u al Zhan yang bermaksud berprasangka buruk. yang bermaksud berprasangka baik iaitu lawan kepada perkataan


Antara kedua-dua sifat berlawanan itu, Islam menganjurkan umatnya supaya bersifat berprasangka baik dalam hidupnya berbanding dengan berprasangka buruk yang tercela.


Perlu diinsafi bahawa sikap prasangka memainkan peranan penting dalam mencorak dan menentukan hala tuju hidup seseorang manusia. Menurut Razzi Armansur dalam bukunya “Hidup Untuk Menang” menegaskan, apa yang disangka itulah yang selalunya terjadi.


Selain prasangka buruk dihantar ke otak untuk diproses bagi menghasilkan penjara sendiri, prasangka juga adalah doa dalam senyap. Apabila anda berprasangka buruk, bermakna anda sedang berdoa di dalam hati, mendoakan sesuatu yang buruk supaya terjadi.


Ini memang tidak disedari, tetapi itulah yang selalunya terjadi. Semua orang tidak mahu dan sentiasa mengelakkan yang buruk tetapi itulah selalu yang diminta dan didoakan. Kerana itu Islam menyuruh dan menggalakkan supaya umatnya berprasangka baik. Berprasangka baik bermakna hati sedang berdoa supaya mendapat kebaikan dan kejayaan.


Prasangka buruk merugikan. Tidak ada kejayaan dan kemenangan dalam kehidupan, perniagaan, pelajaran dan apa saja jika berprasangka buruk. Kenyataan itu disokong Imran Jafar dalam bukunya “Kunci Kejayaan Napoleon Hill” dengan menegaskan, sikap mental positif ialah sikap mental yang betul dalam sebarang keadaan dihadapi dan biasanya terdiri daripada ciri positif seperti kepercayaan, integriti, harapan, sikap optimis, keberanian, inisiatif, murah hati, toleransi, kebijaksanaan, baik hati dan akal budi yang baik.


Ditambah lagi, sikap mental positif adalah salah satu daripada 17 prinsip kejayaan yang diperkenalkan Napoleon Hill sebagai inti pati tindakan dan sikap setiap orang yang pernah mencapai kejayaan berkekalan.


Oleh sebab itulah, Rasulullah SAW menyanjungi seorang mukmin yang berfikir positif dalam hidupnya, bahkan sifat itu adalah antara ciri mukmin sejati. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:


“Amat menakjubkan sikap seorang mukmin yang sentiasa memandang baik terhadap segala sesuatu di sekelilingnya. Sikap ini sebenarnya tidak pernah wujud pada umat lain kecuali kepada golongan mukmin. Apabila seseorang mukmin itu memperoleh kebaikan, dia terus bersyukur kepada Allah dan itu adalah baik baginya. Jika dia ditimpa keburukan, maka dia pun bersabar menghadapinya dan ini pun baik baginya.” (Hadis riwayat Muslim)


Seseorang mukmin sejati sudah pasti menginsafi bahawa hal baik mahu pun buruk dalam kehidupan ini akan datang silih berganti menimpa dirinya. Pada satu ketika, dia mengecapi nikmat kesenangan yang dikurniakan Allah dan mungkin pada satu ketika lain. dia akan ditimpa kesusahan dan kesedihan yang menguji kesabarannya.


Begitu juga pada waktu ini dia diulit kesihatan memuaskan yang memungkinkan dia melakukan sesuatu kerja dengan lancar sekali dan pada waktu lain, dia ditakdirkan jatuh sakit hingga kerja rutin hariannya akan terbantut buat seketika.


Ada juga yang mudah memperoleh limpahan rezeki datang mencurah-curah yang dianugerahkan Allah. Sedangkan pada ketika lain, dia akan rasa kesukaran mendapatkan rezeki biarpun sesuap nasi walaupun tenaga dikerahkan dan keringat dicurahkan. Namun semuanya itu sudah menjadi ketetapan dan ketentuan Ilahi yang mengatur dan menyusun perjalanan alam maya terbentang luas.


Perjalanan hidup dilalui setiap makhluk tidak tetap dan sentiasa berubah dari satu masa ke satu masa yang lain, dari satu keadaan kepada keadaan lain menurut sunnatullah yang termaktub di Loh Mahfuz.


Keadaan itu bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud:

“Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa kemenangan atau kekalahan), Kami gilirkannya antara sesama manusia (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah mengenai orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya).” (Surah Ali-Imran, ayat 140)


Bagi seorang mukmin yang mengaku beriman kepada Allah, tetap akan menerima apa yang berlaku dalam hidupnya dengan penuh reda dan insaf, tidak kira peristiwa itu manis atau pahit, suka mahu pun duka.

No comments: