Monday, November 9, 2009

Kekalkan iman kami

Sumber: Muktar Suhaili as Sarawaki

Syukur kepada Allah Ta’ala Tuhan seluruh alam kerana masih beroleh kesempatan untuk meneruskan penghidupan dan mensyukuri rahmat kasih sayangNya. Semoga selawat dan salam sentiasa tercurah buat Kekasih Allah dan Rasul yang paling mulia, Nabi Muhammad SAW, keluarganya, para sahabatnya, para tabi’in, para tabi’at-tabi’in dan sesiapa sahaja yang mengikuti jalan yang lurus berpaksi kepada kebenaran Islam sehingga hari Kiamat.

Alhamdulillah, saya telah beroleh taufiq dan hidayahNya untuk turut serta dalam misi kemanusiaan membantu mangsa gempa bumi di Padang, Sumatera, Indonesia pada 22-27 Oktober 2009 yang lepas. Banyak ‘ibrah pengajaran yang diperolehi dan banyak juga muhasabah maknawi untuk diteliti secara terperinci. Atas segalanya, amat benarlah peribahasa orang Minangkabau: “Alam takambang jadi guru – Alam terkembang jadi guru” yang membawa maksud bahawa kita harus dinamis dan boleh belajar dari alam, harus boleh menyesuai dan mengembangkan diri di mana saja kita berada baik di rantau ataupun di kampung, serta kita turut dituntut mampu menjadi Rahmatan Lil ‘Alamin! Takana juo!

Saya menulis entri kali ini dengan niat ingin berkongsi rasa, menyebarluaskan pengalaman lewat pemerhatian jaulah dan mengembangkan fikir untuk sama-sama kita memperbaiki diri sebagai hamba Allah yang lebih soleh. Semoga penulisan ini juga akan turut memberi manfaat kepada tetamu ziarah yang budiman sekalian dalam banyak hal yang kita sama-sama cita-citakan bagi ummat yang mulia ini. Amiin Ya Rabb!

(Nota: Tertarik dengan peringatan kepada para bloggers: “Jika anda gian sangat nak menulis, menulislah yang kekal baik hingga ke lubang kubur. Yang memberkati anda dan kehidupan manusia.” Ini sahih!]

‘Ibrah 1: Meramaikan Pekerja Sukarelawan Dakwah Di Medan

Saya suka untuk memulakannya dengan memetik kata-kata daripada buku “Bahtera Penyelamat Dalam Kehidupan Pendakwah” tulisan Almarhum Ustaz Fathi Yakan yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin dan Ustaz Zawawi Ali. Kata-kata ini adalah muhasabah buat insan-insan yang benar-benar ingin menjadi pejuang agama tercinta agar terselamat dari sifat buruk kemunafiqan. Mungkin juga muhasabah khusus buat pimpinan gerakan-gerakan Islam di Malaysia yang kini ‘bertelagah’!

Sheikh Fathi Yakan rahmatullah ‘alaih menulis:

“… Para pendakwah Islam patut insaf bahawa pendokong-pendokong dakwah ialah para mujahid dan para syuhada’. Mereka bukan sekadar sebagai seorang ahli falsafah atau tukang pidato penggegar pentas semata-mata!!

… Keimanan bukan sekadar omong kosong. Malah beriman bukan sekadar iman teori; menggembur-gemburkan tentang Tarbiyyah Rabbaniyyah dengan lidah ataupun ungkapan yang enak kedengarannya di lidah sahaja.

… Sesungguhnya berjihad dengan lisan memang mudah. Ramai yang melakukannya tanpa mengenal lelah. Malah jihad seperti ini mungkin disertai oleh ramai di kalangan orang yang tamakkan populariti serta kemahsyuran di kalangan orang ramai. Akan tetapi jihad dengan harta amat sukar bagi jiwa yang berpaut kepada dunia, takut miskin dan bimbang untuk menderma.”
Sepanjang berada dalam misi kemanusiaan ini, seperkara yang menyeronokkan saya ialah bila ummat yang dipisahkan oleh sempadan negara (insya Allah tidak terpisah oleh sempadan aqidah) dapat sama-sama bekerja dan beroperasi sebagai satu jamaah yang saling lengkap-melengkapi. Yayasan AMAL Malaysia telah berganding bahu dengan rakan seperjuangan sefikrah yang menganggotai Badan Bukan Kerajaan (NGO) atau di Indonesia disebut sebagai Lembaga Swadaya Masyarakat (LSM) termasuklah Baitul Maal Indonesia, Muslim Care, Consuyu Turki, Bulan Sabit Merah Indonesia (BSMI), DSUA, IMWU, PPA, P3B (PKN) dan Relawan Partai Keadilan Sejahtera (PKS). Semuanya hadir bersatu sebagai sukarelawan demi untuk mengembangkan dakwah melalui wasilah kemanusiaan. Masing-masing bersilaturrahmi kerana Allah!


Peduli Kemanusiaan Sumatera Barat Kerjasama NGO Malaysia-LSM Indonesia.

Tazkirah Subuh atau KulTuM (Kuliah Tujuh Minit) yang disampaikan oleh Dr Abdul Rani, Naib Presiden Yayasan AMAL Malaysia yang menekankan pentingnya kita hidup dan mati semata-mata untuk Islam kerana Allah.

Bersama anak-anak Minang, generasi masa depan yang diharap-harapkan. Bangkitlah kalian saudara-saudaraku, harapan itu sentiasa ada!

Sesi AMAL Malaysia dan Baitul Maal Indonesia bersama masyarakat. Pak Jamal sedang menyampaikan kata-kata aluan yang kemudiannya diikuti dengan Tazkirah/ Pengisian Rohani oleh Ustazah Mariam Abdul Rashid.

Anak-anak Murid Tadika yang cekal belajar di bawah Tenda Buluh.

Sekolah Darurat yang dibina sebagai kelas sementara pasca gempa.

Gambar kenangan bersama bapak-bapak Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang bertugas di lokasi gempa dan tanah longsor. Kelihatan di kiri sekali ialah Pak Jamal, Timbalan Presiden Yayasan AMAL Malaysia.

Sukarelawan AMAL Malaysia dan Relawan Partai Keadilan Sejahtera (PKS) menggunakan pickup untuk urusan logistik. Terima kasih teman-teman di atas semangat diberikan dan mohon maaf andai ada kekhilafan sepanjang bersama.

Bersama sahabat AMAL Malaysia Dr Rosli Allani (2 dari kiri) dan teman-teman Relawan PKS, Bapak Taizir Nasution, Wirdan Nevi & Suhermanto.

Semoga ukhuwah antara negara serumpun Malaysia-Indonesia akan terus kukuh. Hentikan ganyang, paterikan sayang!

Sesungguhnya, mujahid dakwah perlu diramaikan dan terus dikaderkan. Sebagaimana yang pernah saya tuliskan sekian kalinya sebelum ini betapa penegasan dakwah kini ialah kita memerlukan lebih ramai pekerja dakwah yang turun ke medan dan meminimakan pengkritik tetap dan perretorik tegar (baca: retorik semata-mata). Mudah-mudahan dengan usaha sebegini akan melahirkan satu thoifah (sekelompok manusia) yang mampu meraih kemenangan Islam dengan ciri-ciri yang diperlukan sehingga akhirnya Daulah dan Khilafah Islamiyyah yang diimpikan mampu direalisasikan.

Jalan itu masih panjang. Akan tetapi, thoifah itu perlu terus dizahirkan dan digerakkan. Soleh individual yang membawa kepada soleh sosial adalah kata kuncinya. Pembinaan barisan pekerja sukarelawan dakwah di medan yang benar-benar soleh dan seterusnya muslih dalam mengislahkan masyarakat adalah teras kejayaannya.

Mari sama-sama kita perhatikan testimoni dari mulut musuh Islam, Raja Reymond mengenai Salahuddin Al-Ayyubi dan tenteranya sebagai asas panduan tentang ciri-ciri dan prasyarat kemenangan. Raja Reymond berkata kepada Birnis si Pemuka Tentera Salib:

“Saya belum pernah melihat tentera sehebat mereka. Salahuddin dan pasukan tenteranya menjadi kuat bukan sahaja kerana jumlahnya yang banyak, namun kerana disiplin dan semangat jihad mereka. Pada waktu malam, mereka beribadat sepanjang malam dan pada waktu siang, mereka bagaikan singa lapar.”
Wallahi, inilah syarat kemenangan.. Para du’at itu perlulah: Malamnya bagai rahib merintih sayu, dihiris dosa air mata. Siangnya bagaikan singa di rimba, memerah keringat meluah tenaga!
‘Ibrah 2: Mari Menutup Buku Derita, Ayuh Buka Kitab Bahagia!
Hati siapa tidak tersentuh melihat kemusnahan rumah secara total di sana-sini… Hati siapa tidak merasa tersayat melihat anak-anak kecil merayu simpati bantuan di tepian jalanan… Hati siapa tidak terhiris kala gedung-gedung yang menjadi punca rezeki ranap tiba-tiba… Dan hati siapa tidak terdetik insaf tatkala melihat di depan mata sendiri 3 kampung (atau korong dalam bahasa Minang) tertimbus sepenuhnya akibat tanah longsor setelah Allah memperlihatkan qudratNya? Meski frekuensi getarannya mungkin berbeza satu dari yang lain berdasarkan sucinya nurani, akan tetapi saya yakin rasa itu pasti ada!
Gempa Bumi Memusnahkan Sebuah Rumah Kampung Di Desa
Gempa Bumi Menyebabkan Kerosakan Total Sebuah Rumah Di Desa
Gempa Bumi Meranapkan Sebahagian Rumah Kedai Di Tepian Jalanan
Gempa Bumi Merubah Kondisi Sebahagian Besar Rumah Kedai Di Kota
Gempa Bumi Turut Menggoncang Hotel Ambacang Yang Tersergam Di Kota
Bekas Tapak 3 Kampung: Lubuk Laweh, Cumadak & Kepolo Koto Yang Kini Menjadi Kubur Besar Kepada Lebih 250 Mangsa Yang Tertimbus Kesan Gempa Bumi Dan Longsor Di Gunung Tigo, Korong Patamuan, Kenagarian Padang Alai, Kecamatan V Koto Timur, Kabupaten Padang Pariaman, Provinsi Sumatera Barat

Apa yang pasti, tentu ada hikmah atas segalanya. Marilah kita melihat musibah dan bencana ini dari kacamata yang lebih positif. Percayalah betapa musibah itu adalah serampang 3 mata iaitu sebagai satu bala dan balasan dunia kepada manusia yang ingkar, peringatan kepada manusia berakal dan ujian buat mereka yang beriman. Sebagai contoh, bencana alam di sesebuah tempat yang menghapuskan seluruh penduduknya mungkin merupakan bala bagi penduduk tersebut yang ingkar kepada Allah, tapi ia merupakan peringatan kepada orang lain yang menyaksikan bencana tersebut. Mungkin juga ada benarnya kata-kata seorang teman kepada saya ketika khidmat di sana baru-baru ini betapa sekiranya manusia ini tidak bisa dibina, maka ada baiknya dibinasakan sahaja!

Maha Benarlah Firman Allah SWT:

“dan betapa banyak umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka, (padahal) mereka lebih hebat kekuatannya daripada mereka (umat yang belakangan) ini…”

“Sungguh, pada yang demikian itu pasti terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai hati atau yang menggunakan pendengarannya, sedang dia menyaksikannya.” (Surah Qaf, ayat 36-37)
Maka di dalam usaha bantuan kemanusiaan sebegini, selain memberi khidmat kepada mangsa, sukarelawan juga perlu berperanan dalam memandaikan masyarakat lewat tarbiyyah musibah betapa selepas kesusahan pasti ada kesenangan dan di sebalik bencana tersirat nasihat bermakna. La tahzan! Bahkan tidak salah untuk kita mengatakan musibah itu nikmat bagi insan mengerti. Mudah-mudahan yang menerima musibah bersabar kerana Allah bersama orang-orang yang sabar dan yang hadir membantu ikhlas kerana hanya ‘amalan yang ikhlas diterima olehNya. Saudara-saudaraku di Padang… Mari menutup buku derita dan ayuh buka kitab bahagia!

‘Ibrah 3: Memberi Khidmat Atas Dasar Persaudaraan Itu Indah

Alhamdulillah, menyertai misi kemanusiaan harusnya memberi dan meninggalkan kesan bermakna kepada sukarelawan yang terlibat. Saya berpeluang memberi khidmat (meski mungkin tidak semaksimalnya) dengan terlibat dalam pembinaan Water Supply Tube Well atau dalam bahasa tempatannya Sumor Bor secara manual, mendirikan khemah-khemah sementara dan mengedarkan pakaian-pakaian kepada masyarakat setempat. Untuk rekod, sehingga kini Yayasan AMAL Malaysia telah menyediakan lebih 400 khemah sementara, sekurang-kurangnya 14 Sumor Bor selain sesi-sesi perubatan dan kaunseling percuma kepada mangsa-mangsa gempa di Padang.


Sumbangan rakyat Malaysia yang prihatin berupa pakaian untuk didistribusikan.

Khidmat Pemeriksaan Kesihatan dan Kaunseling AMAL secara percuma.

Alhamdulillah, belajar memberi khidmat dengan menyediakan Sumor Bor cara tradisional untuk bekalan air bersih kepada warga setempat.

Pembuatan Sumor Bor (Tube Well) dengan peralatan yang lebih canggih dan mengambil masa lebih cepat dengan biaya Rp15 juta untuk satu sumur yang diusahakan oleh LSM Aksi Cepat Tanggap (ACT).

Setelah lebih 8 jam menggali dengan injection air sedalam lebih 11 meter, akhirnya proses menyiapkan paip air bersih dari bawah tanah dapat dilaksanakan.

Alangkah gembiranya warga dengan adanya bekalan air bersih. Segembira-gembira pihak yang menerima, wallahi rasa kepuasan dan penat-lelah dalam memberi lebih menggembirakan! Erti hidup pada memberi...

Sebelum khemah sementara (rumah tenda) didirikan.

Selepas khemah sementara (rumah tenda) didirikan.

Dalam proses menyiapkan sebuah khemah sementara, belajar-belajar jadi tukang.

Sukarelawan AMAL bergotong-royong bersama menaikkan tenda khemah.

Foto kenangan bersama warga setelah khemah disiapkan. Semoga amal yang tidak sempurna diterima jua olehNya.

Kata-kata yang diungkapkan oleh warga ini terngiang-ngiang di telinga saya: “Terima kasih bapak-bapak Insinyur, Dokter dan Ustaz-ustaz yang sudi datang dari Malaysia untuk jadi kuli di Padang!”. Ianya adalah satu kata-kata yang terkesan kepada saya dalam masa 6 hari ketika menyiapkan Sumor Bor di sana. Selalunya selama ini sebagai Engineer kerjanya lebih hanya berurusan di kantor dan di depan komputer, akan tetapi di Padang menjadi buruh kasar atas rasa persaudaraan! Selalunya selama ini sebagai Doktor bekerja di klinik berhawa dingin dengan beroleh ‘bayaran lumayan’, akan tetapi ke Padang menjadi psikologist gratis meladeni rencam karenah semata-mata atas dasar persaudaraan! Selalunya selama ini sebagai Pemegang Ijazah PhD atau Ustaz yang memberi kuliah secara teori di kelas-kelas dan masjid-masjid, akan tetapi ke Padang menjadi du’at yang mempraktikkannya sebagai ‘amal jamae’i atas dasar ukhuwwah!

Ayuh bersama kita terus “Berkhidmat Untuk Kemanusiaan dan Ber’amal Kerana Allah”. Tujuannya bukan kerana mahu disanjung-sanjung atau ingin digelar manusia agung… Sedarlah diri bahawa siapapun diri kita, kita tetap Hamba kepada Allah! Sehebat manapun seorang itu, khidmatnya kepada kemanusiaan juga harus diperkasakan. Setinggi manapun duduk seseorang itu dalam ehwal dunianya, jasanya kepada insan lain jangan sesekali direndahkan.

Bicara Penutup

Sebagai penutup, saya suka untuk kongsikan pengisian khutbah yang saya perolehi ketika menunaikan Solat Jumaat di Masjid Muhammadiyah Bukit Tinggi, Sumatera Barat pada 23 Oktober yang lepas. Khatib menegaskan betapa ‘ibrah dari musibah ialah peripentingnya al-amru bil ma’ruf wan nahyu ‘anil mungkar (menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran) digerakkan dalam masyarakat. Ini kerana apabila bala ditimpakan oleh Allah kerana murkaNya atas sebab maksiat yang bermaharajalela, ia tidak hanya terkena kepada orang yang zalim tetapi turut juga orang yang soleh dalam kalangan mereka.

Justeru itu, setiap manusia selain daripada tidak berbuat zalim, harus juga melarang perbuatan zalim. Tujuannya adalah dalam rangka menyelamatkan kapal kehidupan manusia! Rasulullah SAW telah mengibaratkan hidup bermasyarakat seperti hidup di atas kapal yang sedang berlayar di tengah-tengah lautan:

“Perumpamaan orang-orang yang tinggal dalam sempadan-sempadan Allah itu adalah seperti suatu kumpulan manusia yang menaiki sebuah kapal. Setengah duduk di tingkat atas manakala setengah pula di tingkat bawah. Orang-orang yang duduk di tingkat bawah itu bila hendak mengambil air (dari laut) terpaksalah mereka melalui tempat yang diduduki oleh orang-orang yang di sebelah atas, lalu mereka berkata: ‘Kalau kita tebuk lubang di sebelah bawah kita ini untuk mendapatkan air tentu kita tidak akan mengganggu orang-orang yang di sebelah atas’. Maka kalaulah mereka dibiarkan melakukan apa yang mereka niatkan itu nescaya semua orang di atas kapal akan binasa. Kalau mereka dicegah nescaya kesemuanya akan selamat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Semoga Allah mengampunkan kita semua atas kelemahan dakwah kita. Apa yang akan Allah tanya di Akhirat kelak bukannya sama ada kita berjaya atau tidak, akan tetapi sama ada kita telah buat atau tidak! FirmanNya:

“Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata: “Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang amat keras?” Mereka menjawab: “Agar kami mempunyai alasan (pelepas tanggungjawaban) kepada Tuhanmu, dan supaya mereka bertaqwa.” (Surah al-A’raf, ayat 164).


Buat akhirnya, kepada semua pekerja dakwah…
Jagalah hati, jagalah ‘amal dan jagalah lidah!:

Kalau pedang melukai tubuh,
Masih ada harapan sembuh.

Tapi kalau lidah melukai hati,
Di mana ubat akan dicari?

Wallahu a’lam bissawab.

Tarbiyyatul awlad..


Abdullah Nasih Ulwan memberikan garis panduan untuk mendidik anak-anak.Sekadar perkongsian setelah tidak mencoret tentang ukhrawi.Sebelum mendidik anak-anak sudah pasti setiap insan itu mendirikan rumah tangganya.Rumah tangga yang dibina sudah pasti menginginkan kebahagiaan berpanjangan dan berkekalan. Akan tetapi, ramai di kalangan manusia kini yang terlepas pandang perkara ini.Mahukan anak yang soleh dan solehah tetapi tidak menjadi lelaki dan perempuan yang soleh dan solehah.

Oleh kerana yang demikian, kita seharusnya memahami hak seorang anak dan hak kita sebagai ibu bapa.Anak mempunyai hak yang tersendiri.Hak seorang anak ialah hak makan pakai yang ditanggung oleh ibu bapa. Hak yang paling penting ialah hak mendapat ibu yang solehah dan baik.Selain itu,anak juga berhak mendapat nama yang baik-baik yang dipilh oleh bapanya. diberitakan bahawa, suatu ketika telah datang kepada sahabat Rasulullah dan seorang bapa telah mengadu bahawa anaknya telah derhaka kepadanya.Maka sahabat pun memanggil sang anak tersebut dan ditanya mengenai kesahihan aduan bapanya. Maka sang anak pun menerangkan bahawa, bapanya tidak menunaikan haknya sebagai anak.

Oleh sedemikian beringatlah wahai sahabat, bahawa anak yang soleh itu bermula dari ibu bapanya. Masih belum terlambat andai ada yang ingin berundur dan menyusun semula strategi anda berhubung dan menyusun semula cara hidup, memohon hidayah dan pertolongan Allah. Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat dan kembali kepada jalan yang diredhaiNya. Selain itu, janganlah lupa akan janji-janji yang telah anda lafazka.(janji untuk ikatan yang SAH-perkahwinan). Tunaikanlah, sungguhpun pengalaman yang dilalui itu pahit seketika, tetapi berkat kesabaran akan memberikan kelazatan yang berpanjangan bukan sahaja didunia malah di akhirat..

Didiklah anakmu dari sebelum isteri kamu mengandungkannya lagi. Selamat mencuba resepi terbaru..

Monday, October 19, 2009

Kita mengurus atau kita diurus

Perbezaan ketara antara orang yang berjaya ialah pengurusan. Kita pandai mengurus, kita akan berjaya, jika kita gagal mengurus, kita akan gagal. Mari kita lihat kaedah pembuktian statement ni..

Orang yang berjaya dalam pelajaran, bijak mengurus masanya. Masa untuk belajar, bermain dan masa tidur dan lain2. Orang ini juga bijak mengurus momentum kejayaannya. Selain itu, ada juga golongan yang tiddak mengurus. Tetapi,die mengurus the next day clearly. Pecutan untuk exam mula bila,pecutan untuk asgment mula bila. masanya banyak bermain. Tetapi dia menguruskan masa yang effektif dan berkualiti untuk belajar.

Peniaga yang berjaya juga bijak mengurus. Bijak mengurus masa, dan bijak mengurus akaun perniagaan. Perbezaan yang ketara antara peniaga yang berjaya dan peniaga yang gagal ialah data perniagaan. Data ini juga perlu diurus sebaik mungkin. Tidak boleh hanya berharap sahaja akan untung tanpa melihat dan menganalisa data perniagaan. Peniaga yang berjaya juga bijak mengurus peluang. Tidak melepaskan peluang itu sia-sia sahaja tanpa melakukan plan of action untuk menggenggam keuntungana berlipat kali ganda.

Pemimpin yang berjaya ialah pemimpin yang bijak mengurus masa, mengurus tanggungjawab dan mengurus wang rakyat akan disayang rakyat dan menjadi pemimpin yang terbaik. Bijak mengurus nafsu untuk tidak mengaut wang rakyat secara haram.

Yang terakhir, hamba yang berjaya ialah hamba yang tahu, faham dan merasakan bahawa Allah S.W.T sentiasa melihat tingkah laku, perbuatan dan dia selaku hamba, akur dan patuh dengan perintah Tuhan, mengurus kehidupannya mengikut syariat Islam,dari segi pengurusan masanya, pengurusan hati, ibadah, perlakuan, percakan dan segala yang dilakukan berteraskan ajaran Islam yang sebenar..

Sunday, September 20, 2009

Diairi-semakin ramai menghilang..


29 Ramadhan-Perjalanan yang memakan masa selama 3jam dari selatan tanah air menuntut diri agar lebih sabar bermusafir ketika ramadhan,perut yang memulas ketika perjalanan lebih mentensyenkanhati. Dengan dugaan masalah hati yang semakin meruncing.Mungkin ada hikmahnya,Tuhan lebih sayangkan diri ini.

1 Syawal-Tiada apa yang istemewa Raya kali ini,yang berbeza ialah,beraya di Kuala Lumpur.Jalan raya lengang.salam perantauan dari pakcik mak cik yang berada di oversea, y.m conversation yang menghubungkan kami.Sorang, di kuwait,sorang di u.k,nasib baik tahun ni masih ok la, walaupun tak ramai.Tahun depan lagi ramai tak de,sorang family kat kuwait,uk,sepanyol,leads,alexendaria, pastu,cik poji akan ke US.

Atuk tak beraya-Semua beraya.walaupun atuk kate penat,sebenarnya dia sayup nak jalan,cik wan tak de.tak de semangat dah tu.tak pelah hari ni aku cakap orang,esok2 kalau aku pulak kene terbang,atuk pun sayup gak kot.Kesimpulannya,selagi masih terdaya nak gembirakan orang lain,kita cuba lah sedaya upaya.Salam aidilfitri...

Thursday, September 3, 2009

Pencarian Hala Tuju Hidup


Semakin lama, semakin dewasa setiap remaja Malaysia. Semakin lama semakin menuju alam dewasa yang menjanjikan sejuta mehnah dan tribulasi untuk ditempuhi. Apakah tujuan sebenar hidup ini yang menjadi tanda tanya yang semakin meruncing di dalam hati setiap yang bergelar makhluqat di muka bumi ini??

Tidak diciptakan manusia melainkan untuk beribadat kepadaNya- ya Rabb Yang Maha Kuasa menjadikan semua makhluk yang ada. Menjadikan daripada tiada kepada ada, dan meniadakan daripada ada kepada tiada. Maka, sehingga kini setiap yang bergelar remaja muslim, sekiranya masih tertanya-tanya kemanakah halatuju nya, maka, perkara pokok ini perlu di selesaikan. Selesaikan perkara fardhu ini dahulu. Selesaikan rukun iman yang lima itu, kemudian selasaikan rukun iman yang enam itu. Selepas itu, ketahuilah dan yakin lah, Tuhan bersamamu.

Zaman remaja merupakan zaman gila-gila. Zaman remaja mempunyai trend kegilaan sendiri yang sudah pasti menduga sang penjaga, kerajaan memerintah dan sebagainya. Zaman remaja ini, jika seseorang itu mempunyai kegilaan yang tertentu. Sekiranya ianya terdorong kearah kebaikan, alhamdulillah. Jika kearah keburukan, nau`dzubillah. Sebagai contoh, sekiranya seseorang remaja itu sibuk mengkaji kejuruteraan, dan dia merasakan bahawa seronok untuk terus mengkaji, dia akan menemui kegilaan untuk terus mengkaji. Dan idea-idea yang dilahirkan adalah diluar pemikiran sang pendewasaan. Akan tetapi, sekiranya pemikiran dan kegilaannya adalah merempit, dan yang menjadi kegilaannya adalah mengkaji bagaimana motor itu bolah dilajukan lagi diluar kemampuan jurutera jepun sekalipun.

Begitu juga dengan semangat ekstremis yang ada pada muda-muda sekarang ini juga terdorong dengan perkara-perkara tersebut. Yang beridealisme, sekiranya ia merasakan bahawa yang diperjuangkan itu adalah benar, maka akan di ganyang sehebat-hebatnya. Sehingga berdemonstrasi, membuat kacau dan sebagainya.

Itulah hebatnya generasi muda. Bilakah kegilaan ini akan mula merudum grafnya?? Apabila semakin meningkat dewasa, berumah tangga, beranak pinak... Maka, Bapak Sukarno pernah berkata, berikan aku 10 orang pemuda yang mana hatinya mampu berkorban apa sahaja untuk berjuang, akan aku gegarkan dunia ini!!

Thursday, August 20, 2009

Bulan Ramadhan bukan masa perang



Itulah sebenarnya yang sepatutnya parti politik Malaysia terangkan dengan jelas ketika Ramadhan ini, bukanlah masa yang sesuai untuk terus perang seperti bulan-bulan biasa. Ramadhan ialah bulan keberkatan yang wajib bagi setiap muslim menggunakannya untuk beramal.Akan tetapi,perkara yang berlaku adalah sebaliknya.

Lagi seminggu hendak menghampiri Ramadhan, parti politik Malaysia masih lagi bertelagah akan pilihan raya kecil Permatang Pasir yang akan berlangsung tidak lama lagi. Terang lagi bersuluh, seakan-akan menjadi rutin harian parti politik di Malaysia yang akan bertanding setiap dua bulan. Sungguhpun begitu, politik tetap politik. Perjuangan mesti diteruskan.

Lagi seminggu hendak menghampiri ramadhan 2 parti di Malaysia masih lagi mempertikaikan kenyataan parti lawan.dua-dua tetap salah, yang satu pihak mencetuskan perbalahan, yang satu pihak lagi mencari salah lawan. Bukankah semua ini boleh dibawa berbincang?? Bukankah Melayu itu terkenal dengan sikap kompromi untuk kebaikan bersama?? Kalau kompromi untuk mendapatkan harta boleh sahaja,kalau untuk berdamai?? Semua pentingkan diri. Akan tetapi, harus diingat, bahawa semua itu adalah lumrah. Namun kawallah ia.

Lagi seminggu hendak menghampiri Ramadhan sudah berhadapan dengan situasi ini, tak tahulah, apakah bahana yang akan berlaku jika lagi seminggu hendak menghampiri Hari Raya. Buat follower alfutuwwah.blogspot.com, mohon maaf jika terkasar bahasa, terasa dan sebagainya - Penulis blog "Lagi seminggu nak raya, banyak assignment kene submit, hehehe"

Wednesday, August 19, 2009

Nikah-Connecting people - "pesan buat teman"


Oleh : Maszlee Malik

Sabda Rasulullah SAW: "Wahai orang-orang muda, sesiapa yang mempunyai kemampuan di kalangan kamu, hendaklah mereka berkahwin. Sesungguhnya ia lebih menjaga pandangan. Barangsiapa yang tidak mampu, hendaklah mereka berpuasa, sesungguhnya ia adalah perisai" (H.R. al-Bukhari)

Antara keluhan yang sering diluahkan oleh para siswa-siswi di IPT ialah tidak mempunyai kemampuan untuk berkahwin. Tuntutan naluri muda mereka menyeru mereka untuk berkahwin. Persekitaran yang diwarnai oleh kefasadan dan maksiat juga menuntut mereka untuk menghalalkan perhubungan berlainan jenis yang merupakan sifat tabi’i manusia. Kajian-kajian oleh sesetengah pihak dan juga laporan-laporan media membuktikannya. Sama ada hasil kajian yang pernah didedahkan oleh akhbar Kosmo pada awal tahun 2006, mahupun apa yang telah dilaporkan oleh NST pada 18 Ogos 2006. Kesemuanya membuktikan kemelut yang sedang dihadapi oleh para siswa dan siswi di IPT-IPT. Sayang sekali, kemampuan material mereka tidak membenarkan pernikahan dilangsungkan di alam pengajian. Ibubapa moden yang berfikiran materialistik dan kolot juga menjadi penghalang utama. Bagi para ibubapa, anak-anak mestilah menghabiskan pengajian, mestilah mempunyai kerja yang tetap dan kukuh, membeli kereta, barulah anak-anak tersebut boleh berkahwin. Akhirnya, anak-anak di IPT bergelumang dengan dosa berpacaran dan berkhalwat yang dilarang oleh Allah SWT.

Adakah kemampuan untuk bernikah terletak pada kerjaya, segulung ijazah, kereta, ataupun gaji yang lumayan?

Menurut jumhur ulama, kemampuan yang dimaksudkan oleh hadis di atas adalah kemampuan untuk membayar mahar (mas kahwin dan bukan hantaran). Mahar boleh di dalam pelbagai rupa. Ada sahabat yang memberikan mahar hanya dengan sebentuk cincin besi sahaja. Malah ada yang memberikan mahar di dalam bentuk surah al-Quran yang mereka hafal. Apa yang menjadi persoalan utamanya, institusi kekeluargaan itu mesti dipopularkan. Usaha untuk memudahkan pembentukan sebuah institusi kekeluargaan itu adalah satu kewajipan di dalam mana-mana komuniti. Perhubungan secara halal akan dapat mengelakkan banyak masalah social yang dihadapi masyarakat. Sayang sekali jika usaha pembentukan mahligai yang suci ini sentiasa dihalangi oleh batas-batas material yang kita sendiri ciptakan.

Ibn al-Qayyim pula mempunyai pentafsiran yang lebih ekstrim berhubung "kemampuan" yang disebutkan oleh hadis tersebut. Bagi beliau, kemampuan yang dimaksudkan ialah "kemampuan fizikal". Oleh yang demikian, barangsiapa yang tidak mempunyai kemampuan "fizikal" untuk menjalankan tanggung jawab sebagai suami, hendaklah mereka berpuasa untuk menjana kekuatan "dalaman". Walau bagaimanapun, ini bukanlah pendapat yang popular. Pendapat jumhur ulama mengenai kemampuan yang ditafsirkan sebagai kemampuan untuk membayar mahar merupakan pendapat yang kuat.

Penentuan mahar

Antara persoalan yang mungkin timbul lewat perbincangan mengenai mahar ialah, milik siapakah "penentuan mahar" tersebut. Adakah ianya milik si dara, ataupun bapanya. Di dalam pengamalan masyarakat Melayu dari dahulu lagi, si bapalah yang menentukan kadar mahar si gadis. Jika mereka letakkan terlalu murah, nanti ada yang megatakan, anak gadisnya terlalu murah. Jika mereka letakkan terlalu mahal, nanti ada pula yang mengatakan, mereka menjual anak. Maka adat dan harga pasaran tempatanlah yang menjadi ukuran. Apa yang penting, mahar adalah hak mutlak si bapa untuk menentukannya. Lazimnya di Malaysia, orang utara terkenal dengan mahalnya mahar, orang Pantai Timur terkenal dengan mahar yang rendah, manakala orang di tengah dan selatan mengukurnya mengikut keadaan keluarga dan juga kebiasaan saudara mara. Adakah ini bertepatan dengan Islam?

Di dalam Islam, si gadislah yang mempunyai kuasa mutlak ke atas maharnya. Si gadis mempunyai kuasa penuh untuk menentukan jumlah mahar yang beliau kehendaki. Walaupun al-Quran dan al-Sunnah tidak menghadkan harga siling untuk mahar, namun Rasululah SAW menasihatkan anak-anak gadis agar tidak meletakkan mahar yang terlampau tinggi. Gadis-gadis yang menuntut mahar yang rendah dipuji oleh Rasulullah SAW. Perkara seumpama ini tidak berlaku di Malaysia kita, malah ianya juga tidak berlaku di kebanyakan negara-negara Islam. Uruf atau adat yang banyak memainkan peranan. Si bapa yang mempunyai kuasa dominan sering berperanan untuk menentukan jumlah mahar anak-anak gadis mereka. Kebiasaannya, ianya diukur menurut jumlah kos perbelanjaan perkahwinan yang terpaksa mereka tanggung.

Isu yang cuba diketengahkan di sini ialah, adakah perletakan mahar yang tinggi sesuai untuk warga IPT?, ataupun kita terus akur dengan adat lantas menghalang anak-anak di IPT daripada berkahwin, semata-mata kerana halangan mahar yang tidak mampu untuk mereka bayar?

Berterusanlah anak-anak di IPT di dalam gelombang maksiat di atas nama coupling dan kebebasan individu.

Cara mengatasinya

Jika benar para siswa dan siswi ingin mengelakkan diri dari melakukan maksiat dan berniat untuk menghalalkan perhubungan mereka, mereka hendaklah bernikah. Itulah sahaja penyelesaiannya. Seumpama tema NOKIA, "Nokia – connecting
people", kita mengatakan "NIKAH – Connecting people". Alasan yang sering diungkapkan ialah "Duit tak ada, tapi hati mahu kahwin…"

Apakah tiada solusi yang praktikal di dalam hal ini?, tidak!, solusinya ada,Cuma kesungguhan yang tiada. Apakah solusinya?

1. Peranan Jabatan-jabatan agama dan pusat-pusat zakat

Salah seorang siswa pernah mengadukan kerenah birokrasi yang dihadapi beliau untuk bernikah di zaman pembelajaran. Jabatan-jabatan agama bagaikan tidak menggalakkan anak-anak IPT bernikah dengan mudah. Mungkin mereka lebih gemar untuk mengendap dan memberkas pasangan yang berkhalwat daripada menggalakkan anak-anak muda bernikah. Imam-imam dan para kadi juga nampaknya kurang "jantan" di dalam perkara ini. Majoriti mereka lebih takutkan prosedur dan juga apa yang termakstub di atas kertas berbanding dengan apa yang tertulis di dalam al-Quran dan sunnah. "Saya tidak ada kuasa, nanti saya yang akan kena dakwa!", merupakan ungkapan-ungkapan yang biasa didengari dari mulut para imam dan kadi yang diminta untuk memudahkan urusan perkahwinan anak-anak muda IPT yang tidak dapat melalui proses birokrasi yang konvensional.

Pernah berlaku, seorang muallaf yang ingin bernikah tetapi tidak mendapatkan
surat pengesahan masuk Islam dari Negara asalnya telah dihalang daripada
berkahwin oleh seorang jurunikah di ibu negara. Muallaf tersebut telah membandingkan proses perkahwinan yang jauh lebih mudah di negaranya yang kafir melalui khidmat gereja berbanding dengan proses pernikahan di Malaysia "Darul Islam" ini. Bukan sekali, sepanjang umur saya yang masih muda ini, sudah dua tiga kali para muallaf mengadukan hal yang sama. Lebih parah, ada di antara juru nikah yang tidak berani menikahkan sepasang muallaf hanya kerana tiada surat sokongan dari bapa si gadis yang bukan Islam. Mungkin gambaran ini hanya segelintir kerenah yang terpaksa dihadapi oleh anak-anak muda bila berhadapan dengan kerenah birokrasi jabatan-jabatan agama dan juru nikah-juru nikah. Realitinya mungkin lebih banyak lagi masalah yang mereka hadapi. Tidak hairanlah mereka mengambil jalan yang mudah, iaitu dengan berzina atau bersekedudukan mahupun berpacaran yang jauh lebih mudah. Malangnya, di dalam kes mengendap dan mencekup pasangan yang berzina dan berkhalwat, personel-personel agama ini akan bersikap pro-aktif!

Sewajarnya jabatan-jabatan agama dan personel-personel agama ini memudahkan
proses perkahwinan anak-anak muda. Lebih baik lagi jika disediakan satu pakej perkahwinan IPT di mana prosesnya dimudahkan dan diberikan bonus serta saguhati. Bukankah di dalam usul al-fiqh ada kaedah "fath al-dharai’" (membuka
jalan-jalan kebaikan). Bukankah juga kaedah fiqh juga ada yang mengatakan "al-wasilah yak hudhu hukmu al-ghayah" (hukum kepada jalan yang membawa kepad sesuatu perkara adalah mengikut hokum matlamatnya). Rasulullah SAW juga ada
bersabda: "Penunjuk jalan kebaikan akan mendapat pahala seperti pembuatnya".

Jabatan-jabatan agama juga sepatutnya tidak hanya mengadakan kursus-kursus
perkhawinan, tetapi juga hendaklah menganjurkan kursus "promosi perkahwinan" dan juga "karnival nikah" seperti karnival membeli belah. Eksperiman Jabatan Agama Wilayah menganjurkan perkahwinan beramai-ramai patut dicontohi oleh semua jabatan agama di seluruh Malaysia. Pusat zakat juga sepatutnya bekerjasama dengan jabatan-jabatan agama agar dapat mengurangkan beban mahar yang terpaksa ditanggung oleh pasangan-pasangan muda ini. Upacara perkahiwnan beramai-ramai ataupun "karnival nikah" ini juga sepatutnya dijadikan upacara penarik pelancong. Laksanakan ia di Dataran Merdeka ataupun di dataran KLCC agar ianya benar-benar dijadikan sebagai karnival. Biarlah seluruh negeri melakukannya, biarlah ianya menjadi lebih hebat dari "Jom Heboh". Rasanya, kerjasama TV3 juga perlu, mungkin mereka juga boleh menjadikannya sebagai acara
"Nikah Heboh". Karnival tersebut jangan hanya diserikan dengan acara nikah dan makan sahaja, tetapi pameran, forum perdana, ceramah, persembahan nasyid dan sketsa serta jualan murah barang-barang keperluan harian untuk keluarga juga patut dijadikan acara sampingan.

2. Peranan IPT

Jika ada IPT yang hendak diberikan penghormatan mengenai usaha menggalakkan perkahwinan para penuntutnya, markah yang penuh wajar diberikan kepada UIAM. Semenjak dahulu lagi UIAM menggalakkan siswa dan siswi bernikah dengan memberikan saguhati kepada mereka. Mungkin jumlah yang diberikan itu tidak lah dapat menampung sepenuhnya mahar yang tinggi di Malaysia, namun ianya akan dapat menampung serba sedikit bebanan itu. Diharapkan agar saguhati yang diberikan itu dapat digandakan dimasa-masa hadapan demi mengurangkan gejala maksiat di kalangan siswa dan siswi yang kini tidak mengenal sempadan. IPT-IPT lain juga wajar mencontohi UIAM di dalam hal ini.

IPT-IPT juga wajar menganjurkan carnival nikah untuk mengurangkan perbelanjaan
kenduri kahwin oleh para pasangan muda. Jadikan ia acara tahunan. Pusat zakat
juga boleh memainkan peranan mereka untuk membantu IPT-IPT di dalam menjayakan hal ini. Saguhati atau bonus juga sepatutnya diberikan kepada pasangan-pasangan yang berjaya mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan mereka. Sebagai contoh, mereka yang mendapat CGPA melebihi 3.5, bonus daripada HEP akan diberikan. Melalui cara yang sedemikian, masalah penurunan prestasi belajar siswa dan siswi yang telah berkahwin akan dapat
diatasi. Blok asrama untuk kelamin juga wajar diwujudkan untuk mengurangkan kos sewa rumah di kalangan pasangan-pasangan muda di IPT.

Yakinlah, jika perkara seperti ini tidak dilakukan, gejala maksiat akan semakin berleluasa di masa hadapan. Lebih ditakuti lagi, apabila maksiat sudah dipandang biasa dan sudah menjadi norma. Pada waktu itu, masyarakat yang wujud akan menjadi masyarakat yang bobrok serta punah. Jika IPT-IPT tidak mengambil inisiatif pun, akan sentiasa terdapat pasangan siswa dan siswi yang akan menggunakan cara lain untuk bernikah. Kelazimannya, Golok akan menjadi destinasi terkahir mereka untuk menghalalkan perhubungan cinta yang sudah tidak dapat dibendung dan dihalang.

3. Simpanan khas

Para siswa dan siswi tidak sewajarnya hanya mengharapkan pihak lain melakukan sesuatu sahaja. Mereka perlu bersikap pro aktif. Para siswa dan siswi sepatutnya telah mula merancang kehidupan mereka di masa hadapan semenjak hari mereka mengakhiri peperiksaan SPM. Satu akaun khas untuk kehidupan masa depan wajib diusahakan. Pastikan sejumlah daripada segala pendapatan bulanan dimasukkan ke dalam akaun khas tersebut. Lebih baik jika ianya dimulakan lebih awal daripada itu. Bukan hanya pihak siswa sahaja, malah pihak siswi pun sepatutnya juga mempunyai usaha yang sama. Pastikan segala duit perolehan hasil durian runtuh juga dimasukkan ke dalam akaun khas berkenaan. Usaha sebegini akan memberikan keyakinan kepada ibubapa bahawa anak-anak mereka sudah matang dan mempunyai wawasan.

Kebiasaannya ibubapa ragu-ragu tentang kematangan anak-anak. Mereka masih lagi risaukan tahap pemikiran dan kematangan anak-anak mereka. Turut silap juga ialah anak-anak juga yang tidak menunjukkan kesungguhan dan kematangan. Para ibubapa tidak dapat melihat bukti yang anak-anak mereka benar-benar mampu untuk berdikari. Perkara sebaliknya jika mereka mendapati anak-anak tersebut telah mempunyai perancangan dan mempunyai wawasan. Kematangan anak-anak akan segera dapat dihidu. Amat mengecewakan ramai di kalangan siswa dan siswi yang ingin berkahwin tetapi tidak mempunyai perancangan yang teliti dan boleh dipercayai. Lebih mengharukan lagi jika mereka hanya beriya-iya hendak kahwin di mulut sahaja, tetapi tidak bersikap matang di dalam tindakan. Di dalam hal ini jangan dipersalahkan ibubapa yang bersikap konservatif, salahkan diri sendiri dahulu. Moralnya, mulalah mengumpul duit dari sekarang!

4. Pendapatan sampingan

Di pasaran kini, buku-buku mengenai mencari duit tambahan akan laku seperti goreng pisang panas. Buku-buku karangan Robert Kiyosaki, Azizi Ali, dan lain-lain tokoh dalam dan luar Negara menjadi "best seller". Mengapa?, kerana tuntutan hidup di era globalisasi ini memaksa kita mencari pendapatan sampingan. Begitu juga halnya dengan para siswa dan siswi. Apabila disebutkan pendapatan sampingan, jangan hanya terbayangkan restoran-restoran makanan segera sahaja. Zaman kini adalah zaman "outsourcing". Kebanyakan projek-projekyang dilaksanakan oleh syarikat-syarikat besar akan dibahagi-bahagikan kerjanya kepada syarikat-syrikat kecil yang lain. Bagi sesiapa yang pandai di dalam bidang grafik, reka bentuk, media, multimedia, peluang untuk mendapatkan pendapatan sampingan sentiasa terbuka luas. Hanya perlu rajin lebih sedikit sahaja.

Bagi yang pandai menulis dan melukis, mereka juga boleh menggunakan bakat tersebut untuk menjana pendapatan. Penjualan buku-buku, terutamanya novel
dan cerpen kini menjadi begitu popular. Terokailah ia untuk mendapatkan pendapatan sampingan. Bagi yang tidak mampu untuk melakukan perkara-perkara yang telah disebutkan di atas, ruang motivasi, tiusyen, dan banyak lagi kerja-kerja akademik yang boleh mereka lakukan. Bagi sesiapa yang lebih rajin, carilah pensyarah-pensyarah yang sedang melakukan pengkajian dan juga
penyelidikan. Kebiasaannya para pensyarah tidak akan cukup dengan seorang pembantu kajian (research assistant). Tawarkan khidmat anda, mereka pasti akan gembira untuk mengupah anda bekerja. Peluang perniagaan melalui khidmat khidmat juga ruang yang boleh dieksplorasi oleh para siswa. Terdapat juga di kalangan siswa dan siswi yang terlibat dengan perniagaan MLM, tetapi risikonya tinggi. Perkara yang sering berlaku ialah waktu mereka akan dihabiskan dengan banyak untuk tujuan berkenaan. Mungkin perniagaan insurans lebih ringan daripada MLM.

Apa yang penting di sini, para siswa dan siswi hendaklah mula mengumpul duit untuk berkahwin melalui pendapatan sampingan. Usaha ini akan membantu para siswa dan siswi membina keyakinan di hati para ibubapa. Jikalaulah mereka beralasan anak-anak tidak mampu lagi untuk berkahwin kerana kelemahan di
bidang material, maka jika siswa dan siswi tadi sudahpun mempunyai pendapatan sampingan, mereka akan mati hujah. Pengalaman mencari duit di alam kampus
juga akan membantu para siswa dan siswi di dalam alam kerjaya mereka. Mereka akan menjadi lebih berdikari, berpengalaman dan lebih berkeyakinan untuk menempuhi kehidupan pasca kampus. Jika mereka ikhlas, Allah akan sentiasa membantu. Apatah lagi jika kerja-kerja itu dilakukan untuk menyahut seruan
Allah dan RasulNya.

Kesimpulan

Tiada masalah yang Allah berikan kecuali di sana ada jalan penyelesaiannya. Di sebalik semua ujian dan cabaran ada hikmahnya. Kelebihan anak-anak Adam yang tiada pada makhluk lain adalah akalnya. Lontaran ide-ide di dalam artikel ini
hanyalah sebahagian dari cetusan minda seorang pendidik. Para siswa dan siswi tentunya lebih kreatif dan lebih mengetahui hal keadaan mereka. Seperkara yang penting, para siswa dan siswi Muslim harus sedar tujuan kehidupan kita diciptakan. Kemuncak kehidupan seorang hamba ialah jika mereka dapat memastikan setiap detik dan saat di dalam kehidupannya berlandaskan syariat Allah. Pastikan juga redha dan juga cinta Allah yang menjadi buruan. Pernikahan adalah sebahagian daripada usaha untuk mendapatkan keredhaan Allah dan RasulNya. Perkahwinan juga merupakan wasilah untuk seorang hamba menjauhi larangan Allah. Perkahwinan juga akan dapat membantu para hamba untuk melalui setiap langkah di dalam hidupnya di atas naungan kecintaan Allah. Mengapa bertangguh lagi?, Ayuh segera mulakan langkah!